KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa terkejut dan murka dengan tindakan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengatakan penubuhan Majlis Syura adalah atas titah baginda, setiausaha sulit baginda berkata hari ini.
Sebaliknya, Datuk Mohamad Munir Bani berkata dalam pertemuan minggu lalu Khalid hanya mengatakan mahu bertemu dengan pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama bagi mendapatkan penjelasan mengenai kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 3 Ogos ke atas premis itu.
“Memang tuanku langsung tidak titahkan Menteri Besar menubuhkan Majlis Syura itu sebab tuanku terkejut dan murka dengan apa yang berlaku.
“Tuanku tidak sebut apa-apa tentang Majlis Syura, saya sendiri tidak tahu macam mana Menteri Besar katakan tuanku titahkan, sekarang tuanku murka dan terkejut, dan suruh Menteri Besar perbetulkan semula kenyataan itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Semalam kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk menubuhkan Majlis Syura bagi menyelesaikan segala pertikaian yang berlaku dalam pemeriksaan Jais itu.
Jawatankuasa khas itu atau dikenali sebagai Majlis Syura — dianggotai Khalid, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid dan timbalannya Datuk Abd Majid Omar.
“Idea penubuhan Majlis Penasihat Syura ini dicadangkan oleh Sultan Selangor ketika kami mengadakan perbincangan pada minggu lalu,” kata Khalid dalam satu kenyataan semalam.
Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.
Tindakan Jais itu mendapat bantahan banyak pihak, namun dipertahankan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang menegaskan terdapat usaha untuk memurtadkan umat Islam pada program itu.
Lelaki tabur methamphetamine atas pentas ratu cantik
20 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment