IPOH, 16 Ogos: Adun Pakatan Rakyat Perak menggesa Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof menarik balik kenyataan terhadap mereka dan memohon maaf kepada rakyat.
Gesaan itu dibuat oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakil semua Adun Pakatan Rakyat di dalam laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, hari ini.
“Maka dengan ini, saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataannya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN.
“Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kaca mata rakyat!” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat dalam laporan polis itu.
Berikut adalah laporan polis tersebut.
Adalah dengan ini satu laporan polis dibuat di IPD Ipoh, Perak pada 16 Ogos 2011 (Selasa) terhadap Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof mengenai kenyataan beliau terhadap kami Adun sebagaimana terpapar di muka depan di dalam akhbar Sinar Harian, semalam.
Dengan tajuk “JAGA ADAB” beliau menyatakan “saya harap ahli-ahli dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.
Saya dengan ini bertegas menyatakan bahawa kenyataan ini melanggar serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124. Kenyataan melampau dan keterlaluan ini juga membuat saya berasa terguris, marah, terhina, takut, cemas, bimbang, malu, dan dukacita. Sekaligus beliau mengenepikan Undang-undang tubuh Kerajaan Perak (Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap Dun yang mana saya dan semua Adun telah mengangkat sumpah memelihara dan mendukungnya.
Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua perkara yang terkandung didalam Peraturan Tetap dewan bagi mentadbir perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan dewan serta tingkah laku kami. Dewan mempunyai Tuan Speaker dan pengawalnya tersendiri. Doktrin pengasingan kuasa dan sistem demokrasi berparlimen menjadi ikutan saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Kenyataan Datuk Zakaria di dalam laporan akhbar tersebut juga mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh Umno BN pada bulan Februari 2009, kesemua persidangan Dun Perak telah dicerobohi oleh PDRM dengan kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis. Saya ingin mengingatkan bahawa PDRMlah yang telah masuk dan menceroboh Dun Perak pada 7 Mei 2009, sedang Speaker YB Sivakumar mengendalikan persidangan dan YB Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam di bilik belakang dewan.
Sementara kami Adun Pakatan Rakyat dibelasah dan dikasari oleh polis didalam dewan dan ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri, Pengarah-pengarah kerajaan Negeri dan Persekutuan. Siapa yang sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga Adab”?
Kenyataan ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat. Sedarlah bahawa tahap kejadian mungkar, jenayah, rasuah, pembunuhan, kemalangan, salah guna kuasa, pecah amanah di Perak yang menjadi-jadi kini, memerlukan PDRM melaksanakan tugas mereka bagi menjaga keselamatan rakyat dan negeri. Jangan sibuk menjaga persidangan Dun Perak dan berlagak seperti Perdana Menteri. Sebagai eksekutif, PDRM ada tugasan mereka yang mesti dilaksanakan. Laporan polis yang dibuat oleh rakyat masih bertimbun yang belum disiasat!
Kenyataan Datuk Zakaria yang tidak bertanggungjawab, niat buruk, berbau ugutan serta mencerminkan sikap diperalatkan oleh UMNO BN amat menyedihkan kami. Lihat saja kekejaman yang dibuat Polis terhadap rakyat semasa himpunan aman Bersih 2.0 di KL pada 9 Julai 2011! Bilik hotel saya diceroboh oleh polis dari IPD KL pada jam 12.45 tengah malam pada 9 Julai 2011!
Persidangan yang sepatutnya berjalan selama 2 hari telah ditamatkan oleh Speaker haram pada jam 1 tengah hari pada 15 Ogos 2011. Banyak soalan lisan dan bertulis kami tidak dijawab. Pembesar suara/microphone kami selalunya ditutup. Peraturan Tetap tidak dipatuhi oleh Speaker haram! Bagaimana kami boleh “menimbulkan banyak perkara” dalam persidangan yang tak sampai 3 jam? Speaker haram telah tidak upaya mengendalikan dewan serta hilang kawalan dan akhirnya Dun Perak gagal sebagai badan Legislatif yang dimuliakan!
Maka dengan ini saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataanya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN. Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kacamata rakyat!
16 August 2011
Laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Perak
Dicatat Oleh
bloglist malaysia
Penanda
krisis perak
,
pakatan
,
pdrm
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment