BlogList Malaysia

07 August 2011

Hasan Tidak Patut Jinakan Diri Dengan Utusan

HARI ini ada dua berita yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia (MM) yang saya merasakan penyiarannya atas motif politik yang sangat jelas, bukan atas semangat kebebasan bersuara ataupun menempati prinsip-prinsip journalisme. Dua berita itu ialah, penegasan Exco Selangor Hasan Ali yang mengatakan dia rela dipecat demi kepentingan akidah umat Islam. Berita berkenaan disiarkan di muka hadapan di jadikan headline dengan judul "Saya rela dipecat."

Berita kedua di sebelah dalam mengenai kenyataan Timbalan Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Antara lain berita itu melaporkan Nik Abdul menggesa supaya pemimpin Islam sepakat dalam isu akidah. Berita itu dibawah tajuk "Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah."

Kalau dibaca kepada tajuk laporan itu tidak menyeleweng ia merupakan pendirian dan sikap yang terpuji dan hasanah. Misalnya Hasan sedia untuk dipecat oleh parti dan juga digugurkan dari jawatan Exco kerana tindakannya itu. Ini bermakna beliau yakin dengan apa yang dilakukan. Laporan itu juga memberi gambaran Hasan adalah hero dalam membela Islam di Selangor.


Saya setuju atas ketegasan dan tanggungjawab Hasan. Sesiapa pun dan pada bila-bila masa tidak boleh bertolak ansur dalam soal agama atau akidah. Bila ada unsur cuba merosakkan keimanan orang Islam ia hendaklah diperangi habis-habisan. Apa lagi kalau orang itu mempunyai kuasa. Dalam konteks ini peranan dan tanggungjawab menjaga kesucian agama lebih penting dari menjaga kuasa politik.

Benar begitu. Kerana Allah dan Nabi menuntut menjaga kesucian dan maruah itu. Tahap penjagaan bukan saja setakat kena pecat dari jawatan hatta walaupun terpaksa menggadai nyawa sekalipun. Kerana mati di dalam agama adalah amti syahid. Kebanyakan para tabin dan sahabat Rasulullah s.a.w. syahid kerana mempertahankan kesucian agama Islam. Dan semua kita merindui syurga akhirat.

Bagaimana pun di sini satu perkara yang Hasan kena fikirkan dan orang lain juga; dalam konteks Hasan itu bukankan dia bersuara itu dari kuasa politik? Maksudnya kedudukkanya itu terhasil dari kuasa politik. Setelah partinya menang kemudian membentuk kerajaan PR Selangor lalu melantik beliau sebagai Exco? Kuasa politiklah yang melantik beliau dan beliau berada di situ adalah kerana politik.

Kita faham perlantikan itu amanah yang perlu dipikul. Satu tanggungjawab yang bukan boleh dimain-mainkan. Tetapi apa yang perlu diawasi ialah beliau harus bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawab menerusi kuasa itu. Tanggungjawab Exco dalam membela agama bukan setinggi tanggungjawab Mufti yang dilantik khas oleh Sultan yang mempunyai bidang kuasa mutlak ke atas agama. Perlantikan Hasan adalah perlantikan menerusi instrumen politik.

Di sini kepentingan politik (kuasa) itu tidak kurang peri mustahaknya. Hasan tidak boleh bercakap seperti hari ini dan nilai suaranya tidak sehebat hari ini kalau beliau tidak seorang anggota Exco. Kalau tidak percaya cuba.. Hasan bercakap atas kapasiti dan kediriannya sebagai Hasan atau sebagai seorang fasilitator atau moderator yang handal. Nescaya kenyataanya tidak ada nilai langsung. Dia tidak pun akan diberikan ruang prime di akhbar berkenaan.

Apa yang saya hendak katakan di sini, maslahat mendapat kuasa politik (seperti hari) ini dan maslahat hendak menjaga agama itu sama penting. Jadi apabila Hasan mengatakan dia sanggup digugur atau dipecat adalah satu kenyataan yang merugikan dirinya dan merugikan umat Islam seluruhnya kandati pemecatan demi agama. Dari sudut lain kenyataan itu ada nada angkuh dan sombong.

Untuk menunjukkan keberanian dalam menegakkan kebenaran Hasan tidak perlu menjawab pertanayan soalan wartawan yang dipetik dari satu andaian direka-reka oleh manusia yang rosak akidah politik itu. Wartawan MM itu melontarkan pertanyaan itu setelah mementik andaian dibuat oleh seorang bloger yang juga ahli Parlimen yang kini demam akan kehilangan kerusi.

Sepatutnya Hasan tidak melayani persoalan itu dengan mengeluarkan pengakuan sejujur itu. Beliau boleh berhenti setakat mengatakan sekiranya parti merasakan tindakannya tidak benar dan bertentangan, terserah kepada parti. Tetapi apabila beliau meluahkan pengakuan begitu seolah beliau mencabar partinya dan meletakkan beliau dalam keadaan 100 peratus betul. Sikap merasakan kita betul, hebat dan tepat adalah bukan sifat mazmumah.

Kita memahami perasaan pejuang seperti Hasan. Dia mahu membela Islam dan bangsa. Mungkin luahan itu dilayani kerana kekecewaannya kepada parti yang tidak menyokongnya. Itu tidak menjadi masalah, sebagai pemimpin dan orang mukmin Hasan sudah terlepas dari dosa. Mempertahankan kesucian agama dalam bentuk itu adalah kewajiban umum (fardu kifayah). Hasan harus merasa senang kerana usaha itu telah memerdekakan orang lain dari menanggung dosa. Tindakannya sudah mendapat pahala.

Hasan tidak boleh mengharap segala masalah selesai dalam satu malam saja. Kain tidak akan kering kalau disidai di hari senja. Kuasa politik yang ada kepadanya adalah sedikit saja. Beliau sangat mengharapkan keberanian dan conscience beliau terhadap Islam beliau disokong oleh umat Islam lain. Tetapi apabila ada rakan sendiri yang skeptikal dengan usahanya inilah menyebabkan beliau kecewa dan sanggup untuk diambil tindakan oleh parti.

Semua yang Hasan lakukan itu betul, dari nawaitu kepada syariahnya. Cuma silapnya Hasan di sini menggunakan wadah milik parti lawan untuk meluahkan kekecewa dan membela diri. Sepatut beliau sedar akan realiti itu. Hasan boleh berkawan dengan wartawan atau penerbit, tetapi Hasan tidak boleh menerima atau berkawan dengan akhbar berkenaan yang ada agendanya sendiri. Inilah yang saya nampak satu kesilapan Hasan.

Apa yang hendak saya huraikan dan persoalkan di sini kenapa Hasan dan juga Nik Abduh memberi ruang kepada akhbar berkenaan untuk memberi semangat dan membela kepada mereka. Iya, mungkin kerana akhbar lidah parti tidak bersedia berkerjasama, memberi siaran kepada Hasan. Tetapi Hasan harus pandai menilai mana lebih menguntungkan dirinya dan politiknya dari MM yang menyiarkan kenyataan bersifat adu domba dengan akhabr lidah parti yang tidak menyiarkan kenyataanya, dan terlepas dari adu domba?

Kenyataan atau berita Hasan hari ini sudah tentu akan menjadi perhatian. Saya sangat merasakan tindakan MM memberi ruang begitu besar adalah untuk memerangkap Hasan dan juga Pas. Akhabr itu sudah tahu yang Pas akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa hari ini. Mesyuarat itu tidak akan terlepas membincangkan soal serbuan gereja oleh Jais itu. Jadi apa yang diharap akhbar berkenaan mesyuarat Pas itu akan menghimpit Hasan. Kemuncak harapannya ialah Hasan akan terpelanting dan kalau itu berlaku maka berjayalah akhbar berkenaan mencaing-caingkan Pas agar memudahkan Umno merampas Selangor.

Sama ada sedar atau tidak cara Hasan itu telah membantu musuhnya sendiri. Kalau kebetulan pula ada ahli jawatankuasa yang berkepala panas, mereka akan mengusulkan apa-apa cadangan yang boleh membawa kepada kemusnahan Hasan dalam politik dan juga Pas. Tetapi saya berdoa berkat Ramadhan al Mubarak ini tidak adalah apa-apa yang tidak baik dalam mesyuarat itu kelak.

Saya lihat kemesraan Hasan dengan akhbar Umno itu bukan hari ini saja, tetapi sudah lama. Beberapa isu-isu lain sebelum ini memperlihatkan akan kejinakan Hasan dengan akhbar itu. Hasan senang dan selesa menggunakan wadah berkenaan. Sikap Hasan ini bertentangan dengan partinya yang kurang selesa dengan akhbar itu.

Kemesraan inilah yang memberi liabiliti kepada Hasan. Menyebabkan parti mencurigai beliau. Betapa baik, ikhlas dan molek hasrat Hasan dan kenyataannya dalam akhabr itu, ia tetap akan diprejudis kerana ia disiarkan oleh akhbar itu. Walhal sepatutnya itu hak Hasan, tetapi itulah hukum alam yang patut diketahui oleh Hasan. Selagi beliau berada dalam jelumun politik beliau tidak akan terlepas dari hukum dan peraturan klasik itu. Politik itu penuh dengan persepsi dan sedikit sangat realitinya.

Untuk tidak terus dibaham delima dan rasa serba salah dan berdosa, elok kalau Hasan membuat mahabsah. Istikharah. Kalau sudah tidak betah untuk mengikut lenggang lengguk perlarian politik, bersaralah dengan baik. Undur saja secara sukarela dan carilah wadah yang lebih harmoni dan bukannya meminta parti untuk bertindak ke atas kita.

Tetapi saya percaya, kehandalan dan kehebatan Hasan dalam pancak mempertahankan agama selepas ini tidak sebesar kuasa yang dimilikinya kini. Tidak percaya cubalah buat. Sudah banyak sejarah pejuang-pejuang agama (mujihidin) yang berada atas landasan politik, yang sebelum ini tersebut, tersohor tetapi setelah terkehel dari rahang politik mereka diam membisu menjadi ular air yang kesirnaan bisa.

Sesungguhnya hukum karma dalam buana politik sangat menakutkan. Tepatlah kata bidalan, politik itu membeliti seluruh sendi-sendi kehidupan. Politik itu bagaikan ular sawa yang sentimental menjerut dan mematahkan tulang temulang mangsanya sehingga lemah longlai. Wahalahu'alam. [wm.kl.7:04 am 07/08/11]

Posted by mso

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas