BlogList Malaysia

15 July 2011

Seorang pelajar di Mesir didakwa sertai Himpunan Bersih 2.0 dibuang

SHAH ALAM, 15 Julai — Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman mendedahkan beliau mendapat maklumat seorang penuntut Malaysia di sebuah universiti di Mesir telah dibuang kerana didakwa terlibat dengan Himpunan Bersih 2.0 di sana.

Bagaimanapun kata Rani, pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu dakwaan itu kerana maklumat yang diperoleh masih belum mencukupi.

“Saya baru dapat maklumat itu dan ia mengatakan seorang pelajar di Kaherah telah dibuang kerana terlibat dalam Himpunan Bersih 2.0.

“Ia mengatakan penuntut itu dibuang atas arahan yang dikeluarkan Kedutaan Malaysia di sana namun apabila ditanya kepada kedutaan mereka cuba berdolak-dalik,” katanya pada sidang media selepas memfailkan saman pemula terhadap empat individu termasuk Hishammuddin berhubung tangkapan yang dilakukan ke atas ahli parti Islam itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.


Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meru berkata, beliau akan membawa perkara itu ke perhatian Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan susulan.

“Kita akan siasat dulu perkara ini dan kita akan bawa kepada Menteri Besar untuk membantu.

“Kita harap perkara ini tidak benar,” katanya.

Sebelum ini Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya tidak akan bertanggungjawab atau memberikan sebarang jaminan sekiranya terdapat penuntut Malaysia yang menuntut di universiti luar negara ditahan kerana mengadakan perhimpunan haram.

Bagaimanapun beliau yakin dan percaya bukan mudah penuntut di luar negara untuk mengadakan sebarang perhimpunan dan sudah pasti negara yang terbabit tidak akan memberi kebenaran.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS pusat Mohd Sany Hamzan mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk berdebat secara terbuka mengenai lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Dipetik dari The Malaysia Insider

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas