BlogList Malaysia

07 June 2011

Pemuda PAS Cabar Jamil Khir Baharom

Pemuda PAS cabar Putrajaya nyata status Tugu Negara, patung Tunku

KUALA LUMPUR, 7 Jun — Pemuda PAS Johor mahu Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan pendiriannya mengenai status Tugu Negara dan patung Bapa Kemerdekaan di Parlimen ekoran pendiriannya tidak bersetuju dengan pembinaan tugu 1 Malaysia di Perlis.

Ketua Pemudanya Suhaizan Kayat berkata, di samping tugu 1 Malaysia, terdapat tugu yang telah dibina untuk memperingati jasa pahlawan negara iaitu Tugu Negara dan patung Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, perdana menteri yang pertama.

“Saya mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang tidak bersetuju dengan pembinaan tugu 1 Malaysia yang boleh membawa kepada pemujaan.


“Pandangan beliau adalah sama dengan pandangan yang diberikan oleh Mufti (Perlis, Dr Juanda Jaya) supaya sebarang unsur-unsur pemujaan agar tidak diwujudkan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Katanya, langkah itu perlu bersandarkan pada firman bahawa arak, judi, memuja berhala dan bertenung nasib adalah amalan syaitan dan mestilah dijauhi.

Suhaizan berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 1995 telah membincangkan istiadat meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sempena Hari Pahlawan.

Muzakarah telah memutuskan bahawa meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

“Berdasarkan kepada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini, maka dengan jelas tugu negara boleh membawa kepada unsur syirik dan bercangah dengan Islam.

“Begitu juga dengan patung Tunku Abdul Rahman. Saya mencabar Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak terhadap Tugu Negara dan patung Tunku Abdul Rahman dengan segera,” katanya.

Kata Suhaizan, oleh kerana Jamil Khir adalah seorang individu yang berkuasa dalam negara dan boleh mencegah dengan tangan maka sudah sewajarnya beliau bertindak dengan segera.

Ketika dihubungi, Suhaizan, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan dan Jamil Khir sendiri memutuskan tindakan yang perlu diambil.

“Tindakan sama ada hendak roboh atau sebagainya, kami serahkan kepada menteri, sebab beliau lebih tahu perkara ini,” katanya lagi.

Khamis lalu, Juanda menasihatkan kerajaan negeri tidak membina tugu 1 Malaysia yang disebut-sebutkan akan didirikan di Perlis dalam waktu terdekat.

Juanda berkata jawatankuasa fatwa negeri yang bermesyuarat April lalu memutuskan bahawa tugu yang disebut-sebutkan itu tidak wajar dibina kerana ia bercanggah dengan akidah Islam.

Semalam, Jamil Khir dipetik media berkata kerajaan bersetuju dengan pandangan jawatankuasa fatwa Perlis yang menegah pembinaan tugu 1 Malaysia.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas