BlogList Malaysia

09 June 2011

Bersih : Laporan Polis Karut dan Khurafat, Kata Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan sebagai “karut dan khurafat” laporan polis oleh Pemuda Umno yang mahukan perhimpunan Bersih pada bulan depan dibatalkan.

Dalam laporan polis yang dibuat petang tadi, Pemuda Umno dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong Umno mendakwa Himpunan Bersih di Kuala Lumour pada 9 Julai akan menjejaskan keamanan dan mata pencarian peniaga.

Mohamad atau Mat Sabu berkata hujah yang diberikan oleh Pemuda Umno dan NGO berkenaan tidak masuk akal kerana hakikat adalah sebaliknya. Penyertaan orang ramai pada perhimpunan aman itu, akan merancakkan perniagaan penjaja dan peniaga, kata beliau kepada TvSelangor.


“Laporan polis ini satu perkara yang paling pelik, saya rasa ini cubaan UMNO menghasut,” kata beliau.

“Secara rasionalnya, apabila ramai yang hadir menyertai perhimpunan aman BERSIh sudah tentu mereka akan menggunakan perkhidmatan awam, makan, minum, jadi apa isu menjejaskan pendapatan, bukankah ia akan menambah pendapatan peniaga." kata beliau.

"Jadi yang dikatakan Umno bahawa perhimpunan ini boleh menjejaskan pendapatan jelas satu kepercayaan karut dan khurafat." tegas beliau.

Laporan polis itu dibuat oleh Exco hal ehwal bandar Pemuda Umno, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

Beliau menuntut polis supaya mengambil tindakan awal memastikan perhimpunan itu tidak dijalankan.

Naib Presiden PKR Tian Chua semalam dipetik berkata 60,000 perserta akan terlibat dalam perhimpunan itu pada 9 Julai.

Mengulas lanjut Mat Sabu menegaskan perhimpunan BERSIH akan berjalan secara aman.

Beliau berkata perhimpunan itu akan menzahirkan tuntutan rakyat untuk sebuah sistem demokrasi tuntas demi menjamin sebuah pilihanraya umum yang adil.

Mohamad Sabu menegaskan peserta perhimpunan itu tidak akan menjadi mangsa provokasi polis seperti masa-masa lalu.

"Kalau penjaja tidak mampu menjual air tebu misalnya, ia bukan kerana kebanjiran orang ramai, ia kerana FRU menembah gas dan termasuk kedalam air jualannya," katanya.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas