KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan bahawa Himpunan Bersih 2.0 merupakan ancaman kepada ekonomi negara, khususnya industri pelancongan dan pelaburan asing, disifatkan sebagai hujah paling dangkal abad ini.
Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kayat berkata demikian sebagai reaksi kenyataan Ahmad Maslan bahawa himpunan pada 9 Julai ini menyusahkan rakyat, penjaja, peniaga dan pemandu teksi.
Sebaliknya, kata Suhaizan, sekiranya 300 ribu hadir dalam perhimpunan tersebut membelanjakan sebanyak RM100 seorang, aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan itu adalah sebanyak RM30 juta.
“Peserta himpunan yang bakal hadir adalah seramai 300 ribu orang. Mereka datang daripada seluruh negara dengan membawa duit perbelanjaan masing-masing, sekurang-kurangnya RM100 seorang.
“Dalam masa 3 jam sahaja aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan Bersih 2 adalah RM30 juta. Mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain.
“Bukan semua mereka berkenderaan ke Kuala Lumpur. Sebahagian besar mereka menaiki kenderaan awam. Oleh itu perkhidmatan bas, teksi, LRT dan lain-lain akan mendapat pulangan yang berganda.
“Kenyataan yang menyatakan bahawa penjaja, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami kerugian adalah hujah yang paling dangkal di abad ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Suhaizan, perkara pertama yang wajib difahami oleh Ahmad Maslan adalah himpunan aman tanpa senjata dijamin Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.
“Ini bermakna bahawa himpunan tanpa senjata adalah halal di sisi undang-undang negara. Semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk hadir dalam himpunan aman,” tegasnya.
Menurutnya Pihak kerajaan, Polis, Jawatankuasa Bersih 2, parti-parti politik dan NGO seperti perkasa dan Pekida sepatutnya menghormati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Sebagai contoh mengapa tidak pihak polis membuat reformasi dalam menguruskan peserta himpunan dengan meletakkan anggota polis di sepanjang jalan dari Jalan Chow Kit ke Istana Negara di mana Ketua Polis Negara memandu Pengerusi Bersih Datuk Ambiga ke Istana Negara.
“Di laluan yang lain pula Timbalan Ketua Polis Negara pula mengiringi Datuk Ibrahim Ali menuju ke Istana Negara,” ujar beliau.
Justeru itu katanya, beliau yakin masyarakat negara ini khususnya golongan muda sudah jauh terbuka minda mereka terhadap himpunan aman.
“Masyarakat sudah boleh menerima bahawa himpunan aman adalah suatu keperluan kepada negara demokrasi seperti Malaysia.
“Pelancong-pelancong yang hadir akan berpuas hati dengan keharmonian yang berlaku. Seperti mereka melihat sambutan Maulidur Rasul S.A.W dan Thaipusam di Batu Caves. Pihak polis bekerjasama dengan penganjur bagi menjayakan aktiviti tersebut.
“Jika pihak polis bersedia membuat reformasi dalam menguruskan himpunan aman ini maka insya Allah tiada kekacauan akan berlaku dan pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa,” tegasnya.
Rakyat Marhaen
0 Komen :
Post a Comment