BlogList Malaysia

23 May 2011

Kontrak TNB-IPP Memaksa Harga Elektrik Naik

PETALING JAYA 23 MEI : Kontrak yang dipaksakan ke atas Tenaga Nasional demi memberi keuntungan lumayan kepada syarikat penjana bebas (IPP) menyebabkan rakyat menanggung kadar elektrik yang tinggi berbanding negara jiran, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas ura-ura bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional akan menaikan kadar elektrik bulan depan selepas dinaikan pada Mac 2009.

Anwar mendedahkan rakyat Malaysia sekarang terpaksa membayar kadar elektrik yang jauh lebih mahal berbanding negara jiran seperti Thailand sungguhpun bahan api seperti gas asli di negara ini menikmati kemudahan subsidi.


Beliau berkata TNB mengalami pendarahan kewangan kerana terpaksa membayar harga yang amat tinggi untuk membeli elektrik daripada IPP.

Selain mengaut keuntungan berlipat ganda dari TNB, syarikat IPP juga menikmati subsidi gas berjumlah RM22 bilion ringgit.

“Jika dibandingkan dengan negara jiran, umpamanya, Thailand, tarif elektrik Malaysia ternyata masih tinggi, sungguhpun negara jiran itu membeli gas asli pada kadar harga semasa,” kata Anwar.

“Pada masa ini harga semasa (yang dibayar Thailand) adalah tiga kali lebih tinggi dari harga gas asli yang disubsidikan di Malaysia,” tambah beliau yang juga bekas Menteri Kewangan.

Anwar berkata seorang pemilik rumah di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh untuk 150 kWh yang pertama, manakala pengguna di Malaysia terpaksa membayar 22 sen atau 22 peratus lebih untuk kadar yang sama.

Tarif untuk pengguna runcit di bawah kategori “tarif komersial untuk penggunaan voltan rendah” di Malaysia pula adalah 37 sen per kWh atau 48peratus lebih tinggi dari kadar di Thailand iaitu 25 sen per kWh.

Anwar berkata usaha segera harus dilakukan untuk merunding semula kontrak IPP bagi memastikan tarif elektrik tidak membebankan pengguna negara ini.

" Mantan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope telah menyatakan kepada umum bahawa beliau tidak bersetuju dengan harga yang terlalu mahal yang dikenakan oleh Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta ke atas TNB.

"Harga yang dicatatkan iaitu 13.7 sen sehingga 15.5 sen per kWh (kilowatt hour). Harga elektrik yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah lebih mahal dari harga tenaga yang dihasilkan oleh TNB sendiri,"katanya.

"Ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tak sepatutnya. Malahan harga tersebut ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian, sepanjang membekalkan tenaga tersebut, harga yang dikenakan ke atas TNB berubah menuruti kadar terdahulu sekaligus membolehkan Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta (IPP) mengaut keuntungan yang besarlebih awal,"tambah Anwar lagi.

Menurut Anwar, perjanjian yang diikat dengan IPP hanyalah untuk melindungi syarikat IPP daripada sebarang risiko kenaikan harga bahan api namun meletakkan beban ke atas TNB dan rakyat sekiranya harga bahan bakar itu melonjak tinggi.

" Akibat dari perjanjian ini, Petronas terpaksa mengeluarkan dan membeli gas asli pada harga yang lebih mahal dan kemudiannya menjualnya pula pada kadar harga subsidi yang tetap. Hakikatnya kos subsidi gas ini telah melonjak kepada RM 22billion setahun,” kata Anwar.

" Justeru akibat perjanjian yang rumit dan berat sebelah ini, rakyat Malaysia terpaksa membayar tarif elektrik yang tinggi,’ tambah Anwar.

Ini berlaku apabila TNB terpaksa membayar kos yang tinggi kepada IPP dan tindakan syarikat swasta itu menuntut keuntungan pada kadar masa yang cepat sehingga membebankan rakyat, tambah Anwar.

Justeru mantan Menteri Kewangan itu menggesa Putrajaya menyemak semula harga yang dikenakan IPP ke atas TNB, termasuk menggugurkan elemen yang menjamin keuntungan lumayan untuk syarikat berkenaan dalam setiap keadaan. - tvs



SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas