BlogList Malaysia

12 March 2011

Jika Ziad Masih Dalam PKR, Siang Malam PR Kena Serang

Zaid: BM tidak kira agama, mahu KDN benarkan kitab Injil

KUALA LUMPUR, 12 Mac — Datuk Zaid Ibrahim melahirkan sokongan kepada masyarakat Kristian dengan menggesa Kementerian Dalam Negeri segera membenarkan kitab-kitab Injil yang dirampas sejak 2009 atas alasan Bahasa Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa kira agama.

Justeru Presiden parti Kita itu merayu agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera mengarahkan kesemua 35,000 naskhah kita Injil yang dirampas di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching dibenarkan dibawa masuk.

Selain itu beliau juga mahu kerajaan membenarkan supaya kitab Injil dapat dicetak di Malaysia.

“Bahasa bukan lagi milik orang Melayu dan Muslim sahaja. Ia milik semua kaum.

“Jika kita kekalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan, maka kita harus mengatakan bahawa kitab Injil mestilah dalam Bahasa Inggeris,” katanya.


“Tetapi kita menekankan bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa perantaraan tunggal, jadi tidak munasabah untuk mengharapkan orang Kristian untuk memahami kitab Injil dalam bahasa-bahasa lain,” kata beliau dalam respons menerusi e-mel kepada The Malaysian Insider hari ini.

Justeru kata Zaid, umat Islam negara ini tiada sebab untuk bimbang dengan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kitab Injil kononnya langkah itu akan menyebabkan mereka akan menganut Kristian memandangkan negara ini sudah pun mempunyai undang-undang menghalang perkara sedemikian.

“Sudah ada undang-undang yang menghalang Muslim keluar Islam. Sebagaimana dalam kes seperti Lina Joy, mustahil seorang yang beragama Islam boleh jadi Kristian memandangkan tindakan keluar agama memerlukan kelulusan majlis agama,” katanya lagi.

Malah kata beliau, sudah ada kelas agama dan begitu juga program-program agama dalam televisyen dan radio bagi memastikan akidah umat Islam tidak tergugat.

“Umat Islam di Malaysia dilindungi daripada pengaruh-pengaruh luar, jadi mengapa menafikan rakyat (yang berlainan agama) daripada menggunakan buku suci ini mengikut bahasa mereka, Bahasa (Malaysia)?” kata beliau.

Zaid juga berkata penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia sudah lama diamalkan di Sabah dan Sarawak tanpa sebarang bantahan masyarakat Islam tempatan.

“Birokrasi Muslim di Semenanjung yang menyebabkan isu itu dianggap sebagai sensitif... mengenakan larangan dan halangan ke atas kitab Injil.

“Saya bersetuju dengan syor oleh (Presiden MCA) Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa kitab Injil harus dicetak dalam Bahasa Malaysia di negara ini, maka pihak berkuasa boleh memantau pengedarannya,” katanya lagi.

Zaid juga berkata, Najib seharusnya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan “pengiktirafan” dengan membenarkan naskhah yang dirampas Jabatan Kastam dibawa masuk.

Oleh itu Zaid meramalkan tindakan seumpama juga tidak akan menjejaskan undi orang Melayu sebaliknya akan memperoleh lebih banyak undi dari kawasan bandar.

“Tetapi lebih penting berbanding undi, beliau akan melakukan perkara yang betul,” katanya lagi.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan sebuah persatuan penganut Kristian bahawa kementerian itu telah merampas dan menahan 5,000 kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia.

Katanya, kitab Injil berkenaan sebenarnya dilarang dibawa masuk ke Malaysia kerana gagal memenuhi syarat-syarat kementerian itu.

Satu surat penolakan bertarikh 26 Jun, 2010 telah dihantar kepada pengimport tetapi sehingga kini pengimport masih belum menuntut kargo berkenaan.

Oleh itu, dakwaan oleh National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bahawa kementerian telah merampas dan menahan kitab Injil adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Setiausaha Agung NECF Sam Ang mendakwa bahawa Kementerian Dalam Negeri telah merampas dan menahan kitab Injil berkenaan di Pelabuhan Klang sejak tahun lepas dan enggan mengeluarkan meskipun Kabinet telah meluluskan pengeluarannya.

Ekoran kenyataan kementerian itu, pertubuhan The Bible Society of Malaysia (BSM) pula berkata sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Kementerian Dalam Negeri kerana merampas kargo kitab itu.

Kitab-kitab Injil itu menjadi punca kontroversi kerana mempunyai perkataan “Allah” di mana masyarakat majoriti Melayu Islam percayai kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam untuk merujuk kepada Allah.

BSM telah secara formal memohon untuk dibenarkan membawa keluar kital Injil itu yang dirampas pada Mac 2009.

Dalam pada itu Persekutuan Kristian Malaysia juga menggesa agar kerajaan dengan segera melepaskan kesemua kitab Injil yang ditahan oleh pihak berkuasa.

Pengerusinya Biskop Ng Moon Hing meminta kerajaan bertindak sekarang dan membuktikan keikhlasan dalam berurusan dengan komuniti Kristian di negara ini dalam isu tersebut dan kesemua isu lain yang dibangkitkan sejak persekutuan tersebut ditubuhkan pada 1985.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas