JASIN 28 FEB: Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, pemimpin Umno di negara ini harus merasa malu kerana bercakap tentang isu Melayu walhal mereka yang membuatkan masyarakat Melayu di negara ini hidup melarat.
“Mereka kena ambil cermin menyuluh kembali muka mereka siapa yang menjadikan Melayu di negara ini merempat," katanya kepada Harakahdaily.
Menurut Idris, Umno selama ini menjadikan isu Melayu untuk meraih sokongan Melayu di negara ini kerana menyedari bahawa kaum itu adalah tonggak kekuatan politik di negara ini.
Malah Umno juga parti yang bertanggungjawab mengatakan bahawa Melayu berada dalam keadaan bahaya sejak pilihan raya umum 2008.
Tambahnya, pemimpin Umno sedar pada hari ini yang menyokong mereka ialah Melayu subsidi dan Melayu yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sedangkan Melayu bandar dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kuat sudah tidak menyokong Umno.
Menurutnya, satu lagi golongan orang Melayu yang menjadi ‘simpanan tetap’ Umno dan stok penimbal ialah peneroka Felda.
"Sebab itu apabila masalah Felda dibongkar dalam media mengenai susut aliran tunai dalam masa 5 tahun sejak Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai Felda telah menimbulkan kemurkaan pemimpin Umno," katanya.
Katanya, mereka marah kerana bangkai gajah sudah tidak dapat lagi disembunyikan, dengan kewangan yang ada pada Felda pada tahun 2004, RM4.08 bilion telah susut kepada RM1.35 bilion iaitu merosot sebanyak RM2.73 bilion.
Bagaimanapun, ujarnya tidak dinafikan bahawa Melayu adalah kaum pribumi di negara ini dan semua pihak mengakui hal itu.
Tambahnya, atas kesedaran ini semasa kemerdekaan negara semua kaum telah menerima hakikat tersebut.
"Sebab itu Pakatan Rakyat (PR) menggariskan akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai," ujarnya.
Selain itu, ujarnya PR juga melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
Menurutnya lagi, PR sebulat suara juga bersetuju untuk mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan serta memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
Beliau berkata, atas asas itulah Pakatan Rakyat menerima ketetapan bersama, kerana ia merupakan perkara asas dalam pembentukan sebuah negara yang akan diperjuangkan Pakatan Rakyat. - tvs
Lelaki alami masalah psikiatri maut terjun jambatan Klang
16 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment