BlogList Malaysia

30 January 2011

PRK Tenang - Peratus Undi Pengukur Mutlak Siapa Pemenang

HARI ini pemilih kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor keluar mengundi bagi memilih wakil baru.

Ia membabitkan pertandingan dua hala antara penyandang Barisan Nasional dan Pas. Calon BN adalah bekas pegawai tadbir Mohd Azahar Ibrahim dari parti Umno manakala Pas diwakili oleh bekas guru Normala Sudirman. Pas turut mewakili DAP dan PKR.

Tenang adalah kawasan campuran kaum di mana tidak ada satu bangsa pun mempunyai majoriti mutlak. Daripada 14,753 pemilih berdaftar, 47.54 peratus Melayu, 39.08 peratus Cina dan 12.07 peratus India. Bilangan pemilih bertambah 42 sejak PRU lalu.


Ramalan dan unjuran memihak kepada BN. Ada yang begitu yakin bahawa bukan sahaja BN akan mengekalkan kerusi itu malah menambah majoriti kepada 5,000 undi. Manakala yang lain pula mengatakan majoriti BN akan bertambah 700 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, daripada undi sah sebanyak 10,242 calon BN Allahyarham Sulaiman Taha memperoleh 6,367 undi (62.16 peratus) dan Mohd Saim Siran memperoleh 3,875 undi (37.83 peratus).

Ini memberikan Sulaiman 2,492 kelebihan undi atau 24.33 peratus undi popular. Kalau hari ini jurang itu meluas, maka tandanya BN lebih popular daripada pada PRU 2008, tetapi jika di sebaliknya, ia bererti sokongan mutlak terhadap BN merosot.

Dalam PRU 2008, wujud unsur protes apabila 413 undi didapati rosak dan 14 kertas undi tidak dipulangkan manakala bilangan yang keluar mengundi 73.52 peratus.

BN tentu mahu mempertahankan kerusi itu dan menambah peratusan undi yang diperolehnya bagi menunjukkan ia lebih kuat sekarang berbanding PRU 2008.

Pas/PR pula tentulah bercita-cita melakukan kejutan dengan mengalahkan BN di negeri tunggal di mana Umno/BN masih berupa “king of the castle”.

Bagi Pas/PR, kalau tidak menang pun, memperoleh peratusan undi yang lebih tinggi berbanding PRU 2008 sudah cukup bagus.

PRU demi PRU, sedikit demi sedikit Pas mula merobohkan benteng agung Umno itu. Pada PRU lalu, Pas berjaya merampas dua kerusi DUN iaitu Sungai Abong dan Maharani manakala rakan kongsinya DAP merampas Bentayan (dalam “Empayar Melayu Muar”), Mengkibol, Senai dan Skudai.

Jadi, apa yang perlu diperhatikan bukan siapa menang dan siapa kalah kerana mengalahkan BN masih sukar di Johor, tetapi peratusan undi yang didapati oleh kedua-dua calon.

A KADIR JASIN

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas