01 August 2018

Air Mata Tun Tumpah Depan Ulama..



Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menceritakan satu peristiwa ketika pertemuan khas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama tokoh ulama dan cendekiawan Islam hari ini, yang membuatkannya "merasa sebak".

Ia adalah ketika Mahathir menangis ketika mengatakan keperluan untuk umat Islam kembali kepada al-Quran sebagai rujukan utama.

"Semasa Tun Mahathir mengucapkan 'kita sudah tiada jalan lain untuk menjadi umat Islam yang berjaya melainkan kena baca al-Quran', beliau menangis dan tidak mampu lagi meneruskan ucapan.

"Saya juga rasa sebak. Semoga Allah merahmati Tun (Mahathir)," katanya di Instagram.

Asri mengiringi kata-kata itu dengan gambarnya bersama Mahathir ketika pertemuan itu.

Menurut Bernama, sejumlah 37 tokoh ulama dan cendekiawan Islam mengadakan pertemuan khas kira-kira dua jam bersama Mahathir di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Antara yang hadir, selain Asri, adalah Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang, pensyarah Universiti Oxford United Kingdom Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya Fuziah Salleh.

Menurut Bernama lagi, Mujahid berkata Mahathir dalam pertemuan itu antaranya meminta golongan agama untuk memaparkan Islam yang lebih "berbelas kasihan".

"Dunia sering mengaitkan Islam dengan kekejaman, peperangan dan kelemahan dalam ekonomi.

"Dalam soal ini Tun Mahathir mahu para ulama dan cendekiawan Islam menggunakan ruang terbuka di bawah pentadbiran Pakatan Harapan untuk memaparkan Islam yang lebih berbelas kasihan," katanya seperti dipetik.

Katanya lagi, Mahathir turut mahu institusi Islam agar tidak fokus terhadap soal ibadat sahaja, tetapi juga bidang sains dan ekonomi.


No comments:

Post a Comment

Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.

JADI.., BERANI BUAT BERANI TANGGUNG!