29 July 2018
Ops Judi Haram : Ketua Polis Daerah Gombak Ditukar 24 jam
KUALA LUMPUR 28 Julai - Ketua Polis Daerah (KPD) Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad hari ini diarah bertukar serta merta ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan sebagai Komandan.
Difahamkan, arahan pertukaran itu dipercayai ada kaitan dengan operasi membanteras judi haram di 10 premis yang menjalankan kegiatan perjudian di Jalan Bandar Rawang 3, Bandar Baru Rawang dekat sini malam tadi.
Operasi yang diketuai sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun itu turut melakukan rampasan peralatan perjudian bernilai jutaan ringgit selain menahan 113 individu dewasa yang terdiri daripada penjaga premis dan pelanggan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Turut bersama dalam operasi tersebut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.
Dalam pada itu, tempat Ali akan diisi Komandan Pulapol Air Hitam, Asisten Komisioner Samsor Maarof.
Mohamad Fuzi gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai pertukaran tersebut .
No comments:
Post a Comment
Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.
JADI.., BERANI BUAT BERANI TANGGUNG!