15 July 2018

Debat bersama Zakir Naik, Ramasamy sudah goyang..



Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy meletakkan syarat untuknya berdebat dengan pendakwah Dr Zakir Naik seperti yang dicadangkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Saya warga Malaysia, saya tak takut berdebat. Tetapi Zakir perlu terlebih dulu pulang ke India, hadapi dakwaan dan bersihkan namanya.

"Mahkamah India sangat terbuka. Bersihkan nama anda (Zakir), kembali dan saya akan berdebat dengan anda," katanya ketika ditemui di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

Katanya lagi, beliau sebelum ini bersedia untuk berdebat dengan penceramah warga India itu tetapi "ia tidak berlaku".

Ramasamy mengulas cadangan yang disuarakan Mohd Asri di Facebook semalam agar beliau dan Zakir berdebat dengan tajuk "Siapa pengganas sebenar?".

Dalam hantaran itu, Mohd Asri menyifatkan Ramasamy sebagai individu yang terkait dengan pertubuhan pengganas Tamil antarabangsa, merujuk kepada Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Dalam hantaran sebelumnya, Mohd Asri (gambar) berkongsi gambar Ramasamy yang seolah-olah memberi penghormatan senapang Kalashnikov atau AK-47.

Semalam, Ramasamy yang juga ADUN Perai menafikan menyokong keganasan sebaliknya berkata gambar itu diambil pada 2015 dalam satu majlis anjuran sebuah NGO bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam konflik etnik Sri Lanka.

'Cubaan alih isu'

Ditanya sama ada syarat yang diletakkan itu menandakan beliau takut untuk bersemuka dengan Zakir, Ramasamy berkata "mereka boleh kata apa yang mereka mahu".

Beliau berkata isu yang lebih utama pada masa ini bukanlah soal debat tetapi permintaan India untuk mengekstradisi Zakir bagi berdepan dakwaan jenayah di negara itu.

"Jangan cuba alih isu seperti apa yang Asri cuba buat," katanya lagi.

Ramasamy berkata beliau sama sekali tidak menuduh Zakir bersalah atas dakwaan kesalahan ke atasnya tetapi undang-undang perlu dikuatkuasakan.

"Saya tiada isu peribadi dengannya, tetapi ada dakwaan serius terhadapnya dan India telah memfailkan dakwaan terhadapnya...Mengapa dia melarikan diri?"

Zakir sebelum ini berkata dakwaan terhadapnya - melibatkan tuduhan pengubahan wang haram dan mencetuskan keganasan - bermotif politik dan beliau mungkin tidak dibicarakan dengan adil jika kembali ke India.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir juga berkata kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan untuk mengusir Zakir yang mempunyai status penduduk tetap di negara ini, selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

1 comment:

  1. adakan debat jangan takut.. Ramasamy takut?? siapa berfahaman pengganas sebenar Ramasamy atau zakir naik....

    ReplyDelete

Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.

JADI.., BERANI BUAT BERANI TANGGUNG!