01 July 2018
Bekas Ketua Puteri UMNO Umum Keluar Parti
KUALA LUMPUR: Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar UMNO berkuatkuasa hari ini, dan menjadi Ahli Parlimen Bebas susulan keputusan pemilihan parti yang berakhir semalam.
Bekas Ketua Puteri UMNO itu dalam satu kenyataan melahirkan kekecewaan terhadap perubahan dalam parti yang disifatkannya "tidak kesampaian".
"Bermula 1 Julai 2018 dengan seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman, saya mengumumkan keluar daripada parti UMNO bersama-sama dengan pengikut setia saya.
"Dan saya akan menjadi Ahli Parlimen Bebas bagi maksud yang telah dinyatakan, iaitu untuk menjadi ahli Parlimen yang berperanan menegur dan menasihati pihak kerajaan sebagai “check and balance” atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tanpa terikat dengan etika ahli Parlimen yang mewakili sesebuah parti.
"'Power corrupts and absolute power corrupts absolutely' dan berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh Parlimen yang efektif," katanya.
Menurut bekas Timbalan Menteri Pelancongan itu, beliau menyertai UMNO kerana ia dianggap satu-satunya parti yang diharapkan oleh orang Melayu sebagai landasan dan pentas untuk berjuang membela agama, bangsa dan negara secara harmoni bersama bangsa-bangsa yang lain.
"30 Jun 2018 adalah tarikh di mana semua ahli UMNO menentukan halatuju baru. Di sini kita dapat menilai reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli UMNO yang masih dalam sindrom penafian.
"Harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70% muka baru yang berwibawa di pelbagai peringkat tidak kesampaian.," katanya.
Tambahnya, beliau turut percaya kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak UMNO.
Sebaliknya, katanya, mereka beranggapan UMNO hanya mangsa kebencian rakyat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas presiden parti.
"Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?
"Ikhlas saya katakan, UMNO kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri," katanya.
Dengan pengumuman Mas Ermieyati itu, UMNO kini mempunyai 51 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
No comments:
Post a Comment
Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.
JADI.., BERANI BUAT BERANI TANGGUNG!