24 August 2011

Editor Kanan TV3 Hadapi Siasatan Lakukan Gangguan SEKSUAL

DAMANSARA 24 OGOS: Seorang editor kanan TV3 yang dilantik dengan persetujuan Pejabat Perdana Menteri kini dalam siasatan syarikat itu atas tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap empat wartawan termasuk seorang pembaca berita.

Editor berkenaan bagaimanapun dibenarkan terus bertugas seperti biasa, manakala seorang “mangsa”nya dipindahkan ke NTV7 bulan lalu atas permintaan petugas itu sendiri yang enggan lagi bertugas di bawah editor berkenaan.

Sumber- sumber yang rapat dengan kes itu mengesahkan bahawa Jabatan Sumber Manusia Media Prima Berhad telah memulakan siasatan rasmi selepas pihak pengurusan memberikan persetujuannya baru- baru ini.


Media Prima adalah syarikat yang memiliki TV3, NTV7, TV9 dan TV8 selain memegang kepentingan dalam stesen radio serta Kumpulan New Straits Times Sdn Bhd.

Empat orang yang didakwa mangsa ganggual seksual itu tampil baru-baru ini memberikan kenyataan kepada pengurusan.

Antara lain, empat kakitangan terbabit merujuk kepada sistem pesanan ringkas (SMS) berunsur lucah yang dihantar kepada mereka sebagai menyokong dakwaan bahawa editor itu melakukan gangguan seksual selama beberapa bulan.

Mangsa juga mendakwa editor berkenaan menggunakan pangkat dan jawatannya untuk “menggoda” mereka secara licik, tambah sumber berkenaan.

“Siasatan dijangka siap tidak lama lagi dan terpulang kepada majikan untuk mengambil tindakan susulan,” tambah sumber itu.

Sumber berkenaan memberitahu siasatan itu bermula selepas sepucuk e-mail yang ditulis oleh seorang mangsa yang menggelar dirinya 'Coco Girl' membuat pelbagai dakwaan terhadap editor berkenaan yang sudah berumah tangga. Salinan e-mail itu dihantar kepada kakitangan TV3 selain dihantar ke Pejabat Perdana Menteri.

Editor berkenaan bertugas sebagai pegawai kanan dalam sebuah syarikat perladangan sebelum ini menyertai TV3 sejurus selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada April 2009.

Bilik Berita TV3 dikatakan kecoh dan resah setelah kes itu terbongkar dan mangsa berkenaan tampil memberi kenyataan kepada pihak pengurusan.

Beberapa kakitangan kecewa kerana editor berkenaan masih dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa dan dibenarkan berinteraksi dengan wartawan di bawahnya sungguhpun mengadapi siasatan rasmi syarikat atas tuduhan melakukan gangguan seksual.

“Kes ini memberi kesan kepada moral kakitangan yang mahu syarikat mengambil tindakan segera dan adil supaya ia tidak menjejaskan nama baik TV3 dalam apa cara sekali pun,” kata sumber berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.

JADI.., BERANI BUAT BERANI TANGGUNG!