"Ini kerana beliau terlibat secara langsung dengan peristiwa terbabit," katanya sambil menambah pengkisahan itu akan berlangsung pada hari ketiga, iaitu Ahad ini.
Menurutnya, program itu akan berlangsung di Madrasah Islahiah Diniah - sekolah yang diasaskan oleh Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Tiada permit polis
Nasir berkata pihaknya tidak memohon permit polis, kerana program tersebut dibuat di dalam kawasan sekolah dan berharap program itu berlangsung dengan aman tanpa kekecohan.
Selain pengkisahan itu, pelbagai program juga disusun bermula hari ini yang dianjurkan Pemuda PAS Kedah dengan kerjasama Pemuda PAS di peringkat pusat.
"Kita mahu menyampaikan sejarah peristiwa Memali. Kita mahu peristiwa ini sentiasa segar dalam ingatan rakyat di negara ini," kata Nasir.
Tragedi Memali pada 1985 menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 pengikutnya di bawah Akta ISA 1960.
Menurut kerajaan, semasa operasi tersebut, pihak polis telah diserang oleh pengikut-pengikut Ibrahim dengan bersenjatakan senjata api, parang, pedang dan buluh runcing.
Pihak polis telah menyeru mereka supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman tetapi didakwa tidak diendahkan dan demi mempertahankan diri dan mematahkan serangan tersebut, pihak polis mendakwa terpaksa menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan.
Konvoi bermotosikal
Menurut Nasir, lagi program sambutan memperingati peristiwa yang menyayat hati itu dibuat setiap tahun bagaimanapun kali ini dianggap istimewa kerana sempena genapnya 25 tahun peristiwa itu.
Nasir berkata, program selama tiga hari ini diisi dengan program antaranya, ijtimak guru dan pelajar pondok, konvoi Pemuda PAS, persembahan nasyid, tahlil perdana, klinik smart solat, pameran gambar tragedi berkenaan, pameran jabatan pendidikan negeri, dan ceramah perdana.Selain itu, Nasir juga berkata pantomin mengisahkan rakyat Palestin akan juga dipentaskan bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kesengsaraan yang masih terus dihadapi oleh saudara Islam mereka di bumi Anbiya'.
"Ceramah pembukaan malam ini yang akan disempurnakan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kita menjangkakan kira-kira 8,000 orang akan menghadirinya sekiranya cuaca mengizinkan," katanya ketika dihubungi pagi ini.
No comments:
Post a Comment
Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.
JADI.., BERANI BUAT BERANI TANGGUNG!