01 January 2017

Halalkah pergi haji guna wang 1MDB dari Pulau Cayman?



Tun Mahathir Mohamad tidak salah mempersoalkan sumber dana Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sama ada wajar ia digunakan untuk menaja jemaah haji di Makkah, kata ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Raja Kamarul berkata perkara itu juga dibangkitkan beliau di Parlimen dua tahun lalu, selepas pendedahan bahawa 1MDB melabur dana di kepulauan Cayman.

"Saya sendiri sudah berkali kali bertanya di Parlimen sejak dua tahun lepas mengapa wang 1 MDB telah dilaburkan di sistem kewangan kepulauan Cayman, iaitu pusat terkenal simpanan wang judi, dadah dan kongsi gelap terkenal dunia, dan adakah sumber wang ini digunakan untuk membiayai haji oleh 1MDB ?

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak memberi jawapan yang jelas selain dari menyatakan "ia adalah pelaburan jangka masa pendek".

"Kalau perbuatan itu haram ia tetap haram walaupun untuk jangka masa pendek kerana ada banyak lagi pilihan lain yang halal," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, katanya, banyak rahsia mengenai pelaburan 1MDB di tempat haram terbongkar seperti pelaburan dalam kelab malam terkenal di Las Vegas berjumlah ratusan juta dollar dan penerbitan filem berunsur lucah, Wolf Of Wall Street.

"Selebriti Hollywood Leonardo DeCaprio yang menjadi pelakon utama memberi kesanggupan memulangkan wang diterima beliau kepada rakyat Malaysia jika ia merupakan wang diperolehi dengan tidak sah," kata Raja Kamarul.

Terdahulu Mahathir mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapathaji mabrur kerana ia berpunca daripada wang haram yang dicuri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Susulan itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bekas perdana menteri itu supaya tidak berlagak pandai dalam hukum berkaitan Islam sehingga berani mempersoalkan hal ibadat haji orang lain.

'Ulama cari makan'

Pada masa sama, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dilapor berkata hanya Allah layak menentukan sama ada ibadah haji seseorang itu mabrur atau tidak.

“Yang penting, dia (pemberi wang) melepaskan jalan untuknya mengerjakan haji," katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata mufti berkenaan memilih untuk menjadi  'agamawan bisu' sejak tercetusnya skandal 1MDB beberapa tahun lepas.

"Kerana sekarang beliau telah menunjuk minat dalam isu ini, saya mohon Mufti Pahang dan Datuk Asyraf dengan segala hormatnya memberi pandangan adakah wajar kerajaan Malaysia melabur wang 1MDB di pusat wang judi, dadah, kongsi gelap serta penggubalan wang haram yang terkenal dunia di kepulauan Cayman?,"soalnya.

Katanya lagi, seorang argamawan perlu bercakap benar walaupun pahit di depan pemerintah yang zalim.

"Bukan hanya menegur mereka yang tiada lagi apa-apa kuasa hari ini walaupun pernah disanjung satu ketika dahulu semasa dia berkuasa.

"Tidak sepatutnya wujud istilah ulama cari makan," katanya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas