22 October 2013

Tiada pistol polis jatuh dalam laut, kata Zahid Hamidi

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini tidak menyatakan "terjatuh ke dalam laut" menjadi punca kehilangan senjata api polis, sebaliknya terdapat lima faktor lain menyebabkan kehilangan tersebut.

Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang menjelaskan, antara punca kehilangan senjata api berkenaan termasuklah kenderaan polis dipecah dan senjata api tertinggal di dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir semasa menjalankan tugas, kehilangan dalam tandas, dan juga kehilangan dalam pejabat.


"Daripada 44 senjata api yang hilang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, tujuh daripadanya telah dijumpai," kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulisnya yang diperolehi di Parlimen.

"Secara keseluruhannya, kategori senjata api yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan revolver) yang boleh diletakkan di badan," katanya dalam jawapan bertulis tersebut.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menanggung kerugian sehingga RM1.33 juta apabila aset termasuk senjata api, gari, dan kenderaan dilaporkan hilang.

Pendedahan tersebut menimbulkan respon negatif pelbagai pihak yang turut mempertikaikan keupayaan pasukan keselamatan berkenaan mengawal ketenteraman awam memandangkan berlakunya kehilangan harta benda mereka sendiri.

Dalam respon balas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun tidak menolak kemungkinan senjata api berkenaan "terjatuh dalam laut semasa operasi".

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya berkata, berdasarkan statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang adalah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.

PDRM jelas Ahmad Zahid mempunyai prosedur khusus bagi menyiasat punca kehilangan tersebut dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyiasat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 79 Akta Polis 1967.

"Panduan dan kaedah-kaedah siasatan berpandukan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007," katanya.
Jawatankuasa berkenaan jelasnya akan membuat pertanyaan yang menjurus kepada sebab-sebab kehilangan dan syor bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Hasil siasatan dan syor akan dinilai bagi menentukan tindakan yang patut diambil, jika terdapat bukti kecuaian maka pegawai bertanggungjawab akan diambil tindakan surcaj atau tatatertib, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Bahagian Teknologi Maklumat (IT) PDRM juga jelasnya sedang membangunkan sub-modul bagi pemantauan dan rekod kes kehilangan aset PDRM bermula daripada ia berlaku sehingga peringkat tindakan dikenakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab.

"Sistem ini dijangka akan dimulakan operasinya selewat-lewatnya pada November 2013.

"Dengan wujudnya sistem tersebut, semua kes kehilangan aset PDRM akan diketahui dengan mudah oleh Urus Setia Pengurusan Kehilangan Aset PDRM," katanya lagi.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas