BlogList Malaysia

01 December 2012

ISU TALAM DAN AIR BUKTI KOMITMEN KERAJAAN SELANGOR MENJAGA KEPENTINGAN RAKYAT

KENYATAAN AKHBAR
30 NOV 2012

ISU TALAM DAN AIR BUKTI KOMITMEN KERAJAAN SELANGOR MENJAGA KEPENTINGAN RAKYAT

Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Negeri Selangor dan Speaker, Datuk Teng Chang Khim kerana telah mengendalikan persidangan Dewan penggal kelima dengan baik dan lancar.

Saya berpuas hati dengan perjalanan persidangkan Dewan kali ini yang mana kita bukan sahaja membentangkan belanjawan berimbang untuk lima tahun berturut-turut tetapi juga berjaya menyerahkan kertas putih pelunasan hutang Talam dan dua laporan status berkenaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air serta pengundi yang meragukan menerusi Projek Pendemokrasian.


Saya mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan. Saya terima cadangan, kritikan serta hujah-hujah yang boleh memberi penambahbaikan untuk kerajaan Selangor.

Dalam penggulungan, saya ada menyentuh isu Talam yang mana rakyat Selangor boleh melihat kaedah kutipan dibuat dengan tertib, mengikut peraturan dan tidak merugikan kerajaan negeri serta rakyat. Keputusan kerajaan Selangor mendapatkan semula hutang lapuk ini menerusi Perjanjian Penyelesaian Menyeluruh (Global Settlement Agreement) adalah keputusan yang bijak kerana penilaian adalah berdasarkan kepada penilaian pendapatan masa hadapan.

Kita telah mengeluarkan dokumen-dokumen perjanjian penyelesaian hutang ini dan orang ramai boleh menyemak dokumen ini tertakluk di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI).

Dalam isu air, kita berpendirian bahawa Langat 2 dan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor hendaklah dibincangkan bersekali supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai persefahaman di dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik.

Tanpa penstrukturan semula sebagaimana yang dicadangkan, perkhidmatan air semasa yang tidak holistik akan terus menyumbang kepada pengurusan bekalan air yang tidak cekap dan membebankan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kita juga mendapati Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tidak lagi berupaya mengendalikan pengagihan air kerana menanggung defisit kewangan dan berhutang dengan operator rawatan air melebihi RM400 juta serta gagal membayar royalti air mentah kepada kerajaan negeri sebanyak RM3 juta.

Kita berharap rakyat Selangor akan terus menyokong usaha penstrukturan semula industi perkhidmatan air untuk memastikan bekalan air lebih cekap pada harga munasabah. Ini adalah komitmen kerajaan Selangor untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat menerusi pentadbiran yang cekap, berhemah telus dan bertanggungjawab.


TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas