01 November 2012

MP Umno Tak Sokong AES

KUALA LUMPUR - Rata-Rata ahli Parlimen hari ini bersetuju dengan desakan beberapa pihak terutama Pemuda Umno supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan.

Malahan mereka berpendapat kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan.

Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.


"Saya menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di seluruh negara tetapi pemasangan AES harus diletakkan di kawasan yang sesuai.

"Apa yang berlaku sekarang, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya bahawa pemasangan AES bukan sahaja diletakkan di tempat yang tidak sesuai, malah ia turut mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya," katanya kepada Bernama.

Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyarankan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES yang didapati terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya dan perlu diatasi, antaranya, lokasi serta halaju praktikal
sesebuah kawasan.

Mohd Radzi juga berkata beliau percaya ramai yang telah ditangkap gambar kerana melakukan kesalahan lalu lintas tidak akan membayar saman untuk menunjukkan protes.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan sistem tersebut dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan.

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, yang menyambut baik cadangan penangguhan AES, mencadangkan supaya sistem itu diberi satu tempoh percubaan.

Beliau berkata sepanjang tempoh percubaan itu, kerajaan akan mempunyai ruang untuk mengkaji keberkesanan sistem tersebut terutama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Saya cadangkan tempoh percubaan selama enam bulan boleh menjadi proses untuk mendidik rakyat, yang kemudiannya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) misalnya, boleh mengemukakan laporan sejauh mana tempat yang dipasang AES ini betul-betul berkesan dari segi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.

Pada masa sama, Ibrahim turut mencadangkan agar saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya ditangguhkan bagi menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap desakan rakyat.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian Salehuddin Ayub, penangguhan pelaksanaan AES adalah wajar kerana ia bukan penyelesaian dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya tetapi lebih kepada membebankan pengguna.

"Semua pihak harus bersuara dengan memberi pendapat mengenai isu ini, dan memastikan ia mencapai matlamatnya untuk menyelesaikan kes kemalangan jalan raya dan bukan menjadikan pengguna jalan raya sebagai mangsa kepada sistem penguatkuasaan yang tidak berkesan," katanya dipetik Bernama.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas