BlogList Malaysia

29 November 2012

CHUA TEE YONG DICABAR KETUAI KERTAS PUTIH SKANDAL NFC

KENYATAAN AKHBAR
28 NOV 2012

CHUA TEE YONG DICABAR KETUAI KERTAS PUTIH SKANDAL NFC

Ketua Biro Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong membuktikan dirinya seorang pemimpin muda MCA yang tidak profesional kerana memperlekehkan Kertas Putih Talam yang dikeluarkan oleh Kerajaan Selangor dan menganggapnya sebagai kertas kelabu. Sikap Tee Yong yang celupar ini sekaligus menghina kedaulatan Dewan Negeri Selangor.

Tee Yong tidak ada locus untuk menghina Kertas Putih Talam yang dibentangkan di Dewan Negeri Selangor. Selain beliau bukan ADUN ataupun Ahli Parlimen dari Selangor beliau juga telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.


Belum ada satu hasil dan jasa yang beliau berikan kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat di Selangor semenjak beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri. Apa yang nyata pelantikan beliau hanya semata-mata kompromi antara bapanya; Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan pimpinan BN bukan atas dasar kemampuan dan kebolehan.

Jika beliau seorang yang berpendirian dan bertanggungjawab, sekurang-kurangnya Tee Yong berani menyebut kepada rakyat bahawa hutang-hutang lapuk ini terjadi kerana Talam adalah syarikat kroni MCA dan tanah-tanah milik kerajaan diserahkan dengan begitu mudah tanpa mengira kepentingan rakyat Selangor ketika pemerintahan BN.

Tee Yong tidak pernah sekali pun menyebut bagaimana hutang-hutang ini berlaku tetapi tanpa rasa malu, lantang pula mengkritik kejayaan kerajaan Selangor mengutip hutang RM392 juta ini. Tee Yong umpama ayam yang gah berkokok tetapi ekornya bergelumang dengan najis.

Sikap double standard dan “menikus” yang diamalkan Tee Yong dalam isu NFC amat menjengkelkan meskipun itulah sebenarnya bidang kuasa beliau. Tee Yong hanya layak bersuara mengenai Talam jika beliau mengeluarkan kertas putih NFC bersama laporan audit PriceWaterHouse Coopers.

Memandangkan beliau pernah mendabik dada bahawa beliau adalah seorang akauntan bertauliah, maka kita cabar Tee Yong untuk mengetuai kertas putih NFC tersebut. Rakyat mahu melihat bagaimana Tee Yong mengendalikan isu tersohor tersebut dan membandingkan dengan makanisme yang dilakukan oleh kerajaan Selangor dalam isu Talam. Selagi beliau gagal membawa kertas putih NFC ke Parlimen maka beliau terhalang dari segi moral untuk mengkritik Kertas Putih Talam.

Jangan berikan alasan dangkal untuk menyelamatkan diri, kononnya tidak perlu bawa kertas putih NFC kerana sedang dalam tindakan mahkamah. Tee Yong kena belajar menjadi matang dan bersikap sebagai seorang Timbalan Menteri dan jangan hanya tahu berselindung di sebalik bapanya dan media perdana serta mahkamah.

Tee Yong bukan sahaja bersikap double standard tetapi beliau juga gagal untuk membaca dan memahami isi kandungan kertas tersebut. Jika tidak, masakan beliau tidak tahu membezakan penilaian bagi transaksi komersil dan penilaian dalam proses pengambilan tanah.

Kertas Putih jelas menunjukkan penilaian yang dilakukan oleh Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ke atas tanah di Bukit Beruntung adalah berdasarkan status tanah pertanian manakala penilaian oleh penilai swasta, Sulaiman& Co berasaskan status tanah pembangunan. Sudah pasti dua kategori berbeza menunjukkan nilaian yang berbeza.

Kalau aspek mudah begini pun sukar difahami oleh Tee Yong maka tidak hairanlah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menjadi antara kementerian terpenting tidak menunjukkan sebarang kemajuan. Malah isu bekalan benih padi yang dikuasai syarikat kroni pun masih belum selesai.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK
KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas