25 September 2012

Marina Mahathir Juga Pernah Terima Dana Daripada Soros

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Spekulator mata wang, George Soros bukan sahaja mendanai kumpulan pro-demokrasi di Malaysia, tetapi juga telah membiayai aktiviti-aktiviti Majlis AIDS Malaysia (MAC) yang pernah diketuai oleh anak perempuan pengkritik utamanya di Malaysia, Datuk Paduka Marina Mahathir.

Warganegara Amerika Syarikat (AS) itu mendapat perhatian akhir-akhir ini selepas akhbar arus perdana dan stesen televisyen mesra kerajaan berkata Open Society Institute (OSI) telah mendanai badan bukan kerajaan (NGO) pro-demokrasi untuk menjejaskan kestabilan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak.

Media Malaysia tidak memberikan apa-apa bukti usaha untuk ketidakstabilan.

Ketua pengkritik Soros adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pernah memanggil hartawan Amerika itu “dungu” apabila spekulasi matawang Soros dikatakan telah membawa turun ringgit Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997/98.

Wakil MAC dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider membuat pengakuan selain dana daripada OSI, mereka juga menerima dana daripada Global Fund (GFATM) yang terlibat dalam program kesedaran anti-AIDS, TB dan malaria.

“Ya, MAC juga menerima dana asing dan ia digunakan untuk program kesedaran seperti kempen kesedaran isu tentang AIDS dan HIV serta program-program lain,” kata wakil MAC yang enggan namanya dikenali kepada The Malaysian Insider.

Oraganisasi tersebut memberitahu tahun lepas mereka menerima dana sebanyak US$75 ribu (RM230 ribu) bagi menampung program dan kempen mereka dalam memberi kesedaran tentang AIDS dan HIV.

Minggu lalu, pertikaian dana asing kepada NGO di Malaysia menjadi isu yang hangat dimainkan oleh media arus perdana yang dikawal oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Mereka menuduh pembiayaan sedemikian bertujuan untuk menjatuhkan imej kerajaan dan pemimpin Malaysia.

Antara NGO yang menjadi sasaran ialah seperti SUARAM, Seacem dan media alternatif, Malaysiakini yang didakwa oleh kerajaan dan agensi-agensinya sebagai cuba mencetuskan ketakstabilan politik negara.

SUARAM baru-baru ini dipantau secara dekat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mendakwa bahawa badan hak asasi manusia tersebut memiliki “akaun yang mengelirukan”.

NGO hak asasi manusia itu telah secara aktif mengikuti skandal Scorpene di mahkamah Perancis, berazam untuk mendedahkan dakwaan rasuah kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion ringgit pada tahun 2009 dan mungkin membuka semula kes pembunuhan warga Mongolia Altantuyaa Shaariibuu, yang dikatakan ada kaitan dengan perjanjian itu.

Malahan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan dua hari lalu mendakwa spekulator mata wang, Soros cuba merampas kuasa politik daripada kerajaan BN dengan melantik perdana menteri pilihannya di Malaysia.

“Bagaimana ia boleh menjadi satu perkara yang baik? Dia mahu mengawal politik kita,” kata Dr Mahathir kepada pemberita Ahad lalu. _TMI



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas