13 August 2012

Towkey 'Sekinchan Ikan Bakar' Ancam Buat Kacau

Jawatankuasa Bersih akan membincangkan ugutan Kumpulan anti-BERSIH, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) yang mengancam untuk bertindak agresif ke atas Himpunan Janji BERSIH.

Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk A Samad Said ketika dihubungi TVSelangor memberitahu satu mesyuarat akan diadakan malam ini.

“Asalnya kita hanya menganjurkan majlis berbuka puasa namun apabila perkara ini dibesar-besarkan maka kita akan berbincang lanjut mengenainya.


“Selepas perbincangan tersebut, saya yakin kita akan mencapai kata putus mengenai tindakan selanjutnya berhubung ugutan tersebut,” jelas beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Tambahnya, sebarang keputusan yang dicapai akan diumumkan oleh Pengerusi BERSIH, Datuk S. Ambiga kelak.

Sebelum ini, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan akan menganjurkan ‘Himpunan Janji BERSIH’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini.

MTPKL bagaimanapun meminta gabungan NGO pimpinan Sasterawan Negara itu untuk menimbang semula cadangan mengadakan perhimpunan tersebut bagi mengelakkan ia menjadi medan pertempuran. -selangorku

NGO ancam tindakan agresif ke atas Janji BERSIH

Kumpulan anti-BERSIH, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) mengancam untuk bertindak agresif ke atas Himpunan Janji BERSIH yang merancang untuk berhimpun ketika sambutan ambang kemerdekaan pada 30 Ogos.

Laporan Berita Harian hari ini memetik kenyataan pengerusi MTPKL, Datuk Jamal Md Yunus yang "bosan dengan permainan politik" yang didakwa "banyak merugikan peniaga dan menyusahkan orang ramai".


"Kali ini kita akan bertindak agresif serta tidak membenarkan perkara ini berlaku dan mereka tidak dapat menjangka tindakan yang diambil.


"Kita yang mempunyai 98,000 ahli akan membincangkannya pada perhimpunan ketika Aidilfitri. Mereka berniat mencemarkan sambutan ambang Hari Kemerdekaan," kata pemilik rangkaian restoran Sekinchan Ikan Bakar itu dalam laporan tersebut.


Katanya lagi, 26 NGO dipimpin Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang merancang perhimpunan itu perlu menimbang semula perhimpunan berkenaan "bagi mengelakkan ia menjadi medan pertempuran pada malam itu".


Sementara itu, A Samad ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun enggan mengulas mengenai ancaman berkenaan.


Katanya, gabungan NGO tersebut akan mengadakan satu mesyuarat pada malam ini - yang dijangka akan membincangkan mengenai ugutan berkenaan.


A Samad Said sebelum ini berkata, perhimpunan berpakaian kuning pada malam 30 Ogos di Dataran Merdeka dirancang untuk mengingatkan kerajaan persekutuan berhubung janji-janji bagi memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil.

Samad bagaimanapun menegaskan, acara itu tidak dianjurkan oleh BERSIH kerana hanya 26 daripada 80 badan gabungan menyertai acara itu. Kumpulan lain dijangka menyertainya kemudian.

Kumpulan MTPKL pula sebelum ini mencuri perhatian apabila mengadakan perhimpunan "BERSIH 4.0 Cintakan Negara" di depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di Kuala Lumpur pada Jun lalu.


Mereka pada awalnya merancang untuk membuka gerai jualan semasa perhimpunan tersebut, namun dihalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akhirnya hanya berhimpun dan membawa sepanduk.


Jamal juga mencetuskan sensasi media apabila menawarkan pelbagai hadiah mewah, termasuk Lamborghini dan BMW sekiranya laman Facebook mereka mencapai jumlah sasarah peminat tertentu.


Bagaimanapun, Jamal kemudiannya mendakwa kempen itu menghadapi masalah apabila laman Facebook itu telah digodam. -mk



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas