31 July 2012

Umno Konfiden Tawan Selangor Tapi Tak Berani Namakan Calon MB..

JIKA BN berjaya menawan semula Kedah dalam PRU 13 ini calon Menteri Besarnya ialah Dato Mukhriz Mahathir.

Calon itu bukan sudah ditentukan Datuk Najib sebagai Pengerusi BN tetapi ditentukan oleh orang-orang dalam Majlis Profesor Negara. Tetapi mereka belum menentukan lagi siapa calon MB untuk Kelantan dan Selangor.

UMNO pernah mencalonkan Dato Mustapa Mohamed tetapi tidak menjadi. PRU 2008 dicalonkan pula Dr. Awang Adek Hussein. Tidak jadi juga.


Kali ini belum dicalonkan sesiapa kerana keadaan itu seperti harap ada, percaya tidak. Atau juga mungkan harap tidak, percaya pun tidak. Maka mungkin MB Kelantan itu ditentukan betul-betul PAS kalah. Selagi PAS belum kalah di Kelantan, eloklah tidak dinamakan sesiapa dulu.

Yang BN yakin dapat rampas semula ialah Selangor. Maka di sini UMNO boleh menyediakan calon MBnya. Tetapi setakat ini UMNO belum lagi mencalonkan sesiapa, malah para professor pun belum berani menamakan sesiapa.

Mereka berani mencalonkan Mukhriz di Kedah, walau pun professor lain yang mengatakan Dato Seri Azizan Razak akan kekal sebagai MB seperti yang dibayangkan oleh Prof. D. Mansor Mohamad Nor. Tetapi setakat ini semuanya tercari-cari siapa calon MBnya?

Dr. Khir Toyo sudah dari awal tak termasuk dalam senarai.

Nama yang ada dalam baris depan UMNO Selangor ialah Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Selangor.

Sepatutnya dialah calon yang pertama. Merdeka Center patut mengambil langkah membantu BN siapakah yang dikehendaki oleh UMNO dan pengundi Selangor jadi orang yang terbaik untuk menjadi Menteri Besar kiranya ia berjaya menumbangkan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Saya tidak kata, Pakatan Rakyat dan Tan Sri Khalid akan digulingkan, tetapi semua profesor sudah bersorak sorai mengatakan UMNO akan memenangi Selangor semula.

Jika Selangor sudah boleh diambil semula maka mereka mestilah menamakan siapa pula Menteri Besarnya.

Bukanlah hak professor itu untuk menamakan calon MB itu. Ia hak mutlak PM Najib pada masa ini. Dia ketua UMNO dan dia ketua BN. Kuasanya saja yang berhak menamakannya. Bukan orang lain. Tetapi kerana sang professor sudah berani menamakan Mukhriz orang yang paling popular untuk menjadi calon pertama jawatan itu di Kedah, tentulah mereka juga boleh menamakan sesiapa di Selangor.

Cuba agensi kaji selidik dapatkan pandangan responden di Selangor adakah Noh Omar menjadi pilihan yang terbaik bagi menjadi Menteri Besar Selangor atau ada orang lain yang mereka kira lebih baik?

Mereka jangan fikirkan Noh itu adalah orang terpenting UMNO Selangor selepas Datuk Najib. Datuk Najib telah awal-awal lagi bahawa calon utama baginya untuk BN di mana-mana saja adalah calon yang boleh menang. Ketua UMNO Bahagian dan pemimpin UMNO negeri belum tentu dijamin menjajdi calon boleh menang. Maka kita tidak dapat agak siapa yang Najib fikir boleh menang.

Maka yang pertama professor dan agen kaji selidik patut bantu PM apakah Noh Omar boleh jadi calon boleh menang di mana DUN di Tanjung Karang. Mungkin dia boleh menang di mana DUN di Selangor, tetapi adakah dia calon yang membantu kemenangan untuk semua DUN bagi menjadikannya Menteri Besar?

Mungkin calon yang lain ialah Dato Seri Mohd. Zain Mohamad, Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor. Dia pernah menjadi menteri kerja raya dalam kabinet Tun Abdullah Badawi selepas PRU 2008 tetapi telah digugurkan oleh Najib.

Mungkin Selangor yang terkaya itu memerlukan seorang korporat untuk menjadi MB bagi mengimbangi imej profesional Tan Sri Khalid bagi menjamin aliran pembangunan Selangor mendapat sambutan. Calon saudagar yang paling hebat di Selangor ialah Tan Sri Rozali Ismail, CEO Syabas.

Peranannya lebih banyak dari Noh dalam usaha menjatuhkan kerajaan Pakatan. Mungkin Rozali lebih tepat jadi MB Selangor yang baru?

Subky Latif


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas