BlogList Malaysia

02 July 2012

Khalid Ibrahim Nak Beri Tuisyen Matematik Percuma Untuk Noh Omar

MB: 'Noh harus belajar perakaunan dari saya'

SUBANG – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan memberi maklum balas berkenaan dengan cabaran Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang memberi tempoh seminggu kepadanya agar mendedahkan kedudukan kewangan terperinci Universiti Selangor (Unisel).

Menurut Menteri Besar Selangor, maklumat-maklumat yang diperoleh oleh Noh mengenai Unisel hanya khabar angin semata-mata.


“Beliau (Noh Omar) harus belajar perakaunan daripada saya kerana kebanyakan yang diketahui mengenai Unisel hanya khabar angin sahaja,” kata beliau mengulas cabaran Noh di sini, hari ini.

Terlebih dahulu Noh mencabar dan memberi tempoh seminggu kepada Menteri Besar untuk mendedahkan kedudukan kewangan terperinci Unisel.

Beliau berkata pendedahan laporan terperinci mengenai kedudukan kewangan universiti milik kerajaan negeri itu termasuk jumlah tunai dan hutang terkini, perlu dilakukan bagi menangkis dakwaan bahawa Unisel sedang menanggung kerugian.

"Saya mempunyai laporan akaun terkini Unisel dan menunjukkan ia berada dalam keadaan nazak dan saya tidak akan cakap kalau saya tidak ada bukti," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, sejak parti pakatan pembangkang mengambil alih, Unisel menghadapi pelbagai isu termasuk pertukaran Naib Canselor dan peletakan jawatan beberapa individu dan digantikan dengan pemimpin pembangkang daripada Pas dan PKR.

Beliau berkata, kerajaan Selangor meletakkan tiga wakil politik dalam pentadbiran Unisel iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Hussin, Ahli Parlimen Merbok Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Che Mat sebagai anggota Lembaga Pengarah universiti itu.

Dalam ulasannya, Khalid juga berkata, tindakan meletakkan wakil Kerajaan Negeri dalam Unisel tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia amalan biasa kebanyakan universiti dalam negara.

Abdul Khalid berkata, kebanyakan universiti di negara ini mempunyai wakil daripada pihak kerajaan termasuk beliau sebagai wakil kerajaan dalam universiti milik Kerajaan Selangor itu.

Menurutnya, kebiasaan Pengerusi Unisel adalah daripada kerajaan negeri Selangor dan pihaknya memilih orang-orang berkelayakan untuk mengisi jawatan Ahli Lembaga Pengarah universiti itu.

“Misalnya saya memilih Dr Che Rosli Che Mat, meskipun dia Ahli Parlimen Hulu Langat, namun beliau mempunyai kelulusan dalam Fizik yang dapat membantu membina pusat Atom, kalau itu kita bangkang dalam pemilihan, maknanya kita tidak pilih orang yang baik.

“Kalau Noh Omar ada orang yang setaraf dengan Che Rosli, beliau boleh cadangkan kepada saya, kerana pemilihan penting bagi memberi nama baik kepada negeri Selangor,” kata beliau yang turut mengulas kenyataan Noh yang mendakwa Abdul Khalid rakus mempolitikkan pentadbiran Unisel apabila melantik ketiga-tiga mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menjelaskan pemilihannya bukan disebabkan kepentingan politik tetapi kerana faktor keupayaan dari segi mentadbir syarikat korporat.

Katanya, yang penting adalah bagaimana universiti itu dijaga dan dakwaan dibangkitkan dianggap terlalu kecil serta tidak memberi tambah nilai ke atas kritikan itu.

Sinar Harian



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas