25 July 2012

Air terawat: Fakta Syabas tidak tepat

Menurut laporan Jawatankuasa Pemantauan Air, kapasiti rizab pengeluaran sebenar air terawat adalah pada paras 11 peratus.

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mendapati fakta peratusan rizab air terawat sebanyak dua peratus yang dilaporkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) adalah tidak tepat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, menurut laporan Jawatankuasa Pemantauan Air, kapasiti rizab pengeluaran sebenar air terawat adalah pada paras 11 peratus.


Malah katanya kapasiti rizab pengeluaran air terawat itu akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi siap sepenuhnya.

“Ekoran penemuan Jawatankuasa Pemantauan Air bermula 18 Julai lalu itu turut mendapati keupayaan pengeluaran kesemua 34 loji ialah 4,807 juta liter sehari berbanding keupayaan agihan Syabas 4,371 juta liter sehari, lebihan sebanyak 436 juta liter sehari.

“Ini bermakna Syabas beroperasi di bawah keupayaan sebenar dan bukan pada tahap optimum,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Projek mitigasi I

“Projek Mitigasi I yang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2013 akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat kepada 5,139 juta liter sehari, penambahan sebanyak 332 juta liter sehari atau 768 juta liter sehari berbanding keupayaan agihan Syabas.

“Oleh sebab kegagalan Syabas itu, kerajaan Selangor kini telah selesai dalam persediaan dokumen untuk tujuan pengambilalihan pengurusan syarikat konsesi air itu,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok.

Dalam pada itu kerajaan Selangor turut memutuskan agar sebarang urusan berkaitan projek pembinaan loji air Langat 2 perlu di bawa terus kepada pejabat Menteri Besar.

“Ini termasuk agensi-agensi kerajaan negeri yang berkaitan. Tender untuk projek Langat 2 boleh dibuat tapi ia perlu melalui saya untuk kelulusan,” ujar Abdul Khalid.

Agensi-agensi kerajaan negeri dimaksudkan termasuklah Pejabat Tanah dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa kerajaan pusat akan meneruskan projek Langat 2, beliau berkata perkara itu belum dimuktamadkan oleh Pusat.

“Oleh itu, kita akan bergerak setapak demi setapak dengan usaha untuk mengambil alih pengurusan Syabas,” ujar beliau.

freemalaysiatoday.com/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas