20 March 2012

Scorpene mampu tenggelam karier politik Najib

Situasi kali ini telah meletakkan Najib dalam keadaan sukar apabila perbicaraan ini dijalankan dalam sistem perundangan yang berada di luar kawalan beliau.


(FMT) - Setelah sepuluh tahun menunggu, akhirnya kes komisyen pembelian kapal selam Scorpene disahkan akan dibicarakan di Mahkamah Pengadilan Tinggi Perancis (Tribunal de Grande Instance).


Di Malaysia pula, meskipun jelas wujud percubaan dari media arus perdana untuk meminggirkan perkembangan terbaru ini namun ia dipercayai tidak akan mampu bertahan lama sebelum terburai nanti.

Lebih-lebih lagi apabila perbicaraan tersebut bermula dan menjadi fokus media-media utama seluruh dunia.

Meskipun kes ini telah lama dilondehkan di alam siber dengan pelbagai fakta dan teori, perbicaraan yang berlangsung itu nanti pasti tetap mengundang kejutan-kejutan terbaru.

Sekurang-kurangnya dalam perbicaraan itu nanti, beberapa elemen sudah pasti akan menjadi fokus utama masyarakat tempatan negara ini dan juga antarabangsa.

Antaranya, persoalan benarkah wujud kaitan kes komisyen pembelian ini dengan kes pembunuhan mendiang Altantuya Shaariibu seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Altantuya kekasih Razak Baginda

Selain menjadi orang kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Altantuya juga merupakan kekasih gelap kepada Razak seperti yang diakui Razak sendiri dalam perbicaraan kes pembunuhan model Mongolia itu.

Benarkah wujud penglibatan Najib selaku Menteri Pertahanan Malaysia ketika itu, dalam soal pemberian komisyen berjumlah RM540 juta kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki orang kepercayaannya, Abd Razak Baginda.

Ramai juga akan tertanya-tanya adakah akan tampil seekor lagi kambing hitam untuk dipersalahkan di dalam perbicaraan ini nanti.

Di samping itu, rakyat negara ini juga ada yang mula cuba mencula sejauh manakah perbicaraan ini memberi kesan terhadap reputasi Najib sebagai PM dan parti Barisan Nasional yang diterajuinya.

Menarik juga untuk difikirkan, adakah perkembangan muttakhir kes komisyen kapal selam ini akan mempengaruhi ‘ilham’ Najib dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Adakah Najib mula berkira-kira untuk menyegerakan pembubaran parlimen sebelum perbicaraan ini memasuki fasa pendedahan demi pendedahan atau adakah beliau mengambil risiko menunda jauh ke hadapan di mana kedua-dua keputusan tersebut tetap mempunyai risiko masing-masing.

Tidak kira apa pun keputusan Najib nanti, cepat mahupun lambat, perbicaraan Scorpene pasti akan mencalarkan imej Najib di kaca masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Jelasnya, tidak kira walau apa pun jawapan terhadap semua persoalan di atas, reputasi Najib sudah hampir pasti terjejas.

Kera sumbang

Jika tidak dalam pilihan raya akan datang pun, sekurang-kurangnya perbicaraan ini akan menjadikan Najib kera sumbang di peringkat antarabangsa.

Kes ini dibicarakan setelah kumpulan hak asasi manusia dari Malaysia Suaram memfailkan saman sivil terhadap firma gergasi pertahanan tentera laut Perancis DCNS kerana didakwa membayar komisyen kepada pemimpin di Malaysia.

Berbeza dengan amalan perundangan di Malaysia, Suaram turut diberi akses kepada kertas siasatan pendakwaraya dalam dua minggu lagi.

Situasi kali ini telah meletakkan Najib dalam keadaan sukar apabila perbicaraan ini dijalankan dalam sistem perundangan yang berada di luar kawalan beliau.

Perbicaraan pembayaran komisyen Scorpene ini bukan sahaja setakat mampu mencalarkan imej Najib, silap hari bulan, Scorpene akan turut menenggelamkan karier politik Najib.

Dipetik dari - http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/beritakomentar/48141-scorpene-mampu-tenggelam-karier-politik-najib?utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas