BlogList Malaysia

03 March 2012

Hasan Jati Dicabar Tanding Atas Tiket BN

KUALA TERENGGANU – Pimpinan Pas, Datuk Abu Bakar Chik mencabar bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menjadi calon Umno dan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi membuktikan kebenaran dakwaan beliau bahawa Pas akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Abu Bakar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, pihaknya menyedari bahawa Hasan ketika ini bergerak sebagai suara Umno dalam melemahkan keyakinan masyarakat kepada parti.

Beliau juga meminta Umno tidak lokek memberikan kerusi kepada Hasan dalam pilihan raya akan datang bagi membuktikan kebenaran ramalan Hasan itu.


“Kita cabar dia bertanding atas tiket Umno kerana hanya Umno yang layak berlawan dengan Pas, sedangkan Jati yang ditubuhkannya itu adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengelirukan (dari sudut perjuangan),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu yang meramalkan Pas akan kalah teruk pada PRU13 kerana sudah terpesong daripada matlamat perjuangan sebenar dan menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, Abu Bakar meminta masyarakat tidak menjadikan Hasan sebagai rujukan Pas kerana beliau bukan lagi ahli Pas selepas dipecat secara rasmi baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Hasan keluar Pas bukan kerana parti itu menyeleweng daripada perjuangan sebenar, sebaliknya Hasan ditolak parti kerana perjuangannya sudah berubah.

Sehubungan itu, katanya, tidak perlu dipertikai sekiranya apa yang diperkata Hasan tidak sama dengan parti yang pernah diwakilinya sebelum ini.

“Pas tetap dengan perjuangan menegakkan Islam dan negara yang adil. Tidak timbul keluar daripada perjuangan asal,” katanya.

Abu Bakar mendakwa, apa yang diperkata Hasan lebih kurang sama dengan kenyataan pimpinan Umno sebelum ini.

Beliau berkata, jika benar Pas menyeleweng, sudah tentu parti itu tidak mendapat sokongan masyarakat setempat tetapi sebaliknya kini, kedudukan Pas semakin baik dari masa ke masa.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas