26 March 2012

Dua beradik ditumbuk, ditangkap semasa ceramah Umno

TANAH MERAH 26 Mac: Dua beradik yang ditumbuk Pemuda Umno kini ditahan reman tujuh hari di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah.

Bercakap kepada Keadilan Daily, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani berkata, kejadian malang menimpa Ahmad Amin Deraman, 47 dan Talmizi Deraman, 30an itu berpunca apabila mereka melontarkan kata-kata sinis semasa ceramah anjuran Umno Tanah Merah dan Kemahang 11 Mac lalu.

"Talmizi melaungkan perkataan pembohong, menipu rakyat, cukup-cukup bohong, tiba-tiba Pemuda Umno datang menumbuk beliau, tetapi dibantu abangnya.


"Tidak puas hati dengan serangan itu, mereka menggunakan polis supaya menangkap Talmizi menyebabkan kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 455 iaitu melakukan pencerobohan dan Seksyen 148 mendatangkan pergaduhan gempar," katanya.

Amran berkata, tindakan dwistandard polis membendung kekacauan itu sepatutnya berlaku apabila menangani perbuatan samseng upahan Umno ketika menganggu ceramah Pakatan Rakyat.

"Saya kesal apa yang berlaku, sedangkan ceramah Pakatan yang diganggu sehingga mendatangkan kecederaan dan kerosakan tidak diambil serius oleh polis.

"Kalau betul polis menjalankan tanggungjawab dengan telus, mereka mesti tangkap pemuda-pemuda upahan Umno seperti yang dibuat polis Kelantan," katanya.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua beradik itu turut akan dilibatkan insiden membakar bendera Umno di Tanah Merah baru-baru ini.

"Sebelum ini, saya sendiri berjumpa Ketua Polis Daerah Tanah Merah yang mengatakan kes dua beradik itu boleh dibebaskan dengan jaminan polis.

"Tapi ada maklumat mengatakan Pemuda Umno berjumpa pihak atasan supaya dua beradik itu ditahan lebih lama bagi menunjukkan bahawa jika kamu kacau ceramah Umno, ini padahnya," katanya.

Terdahulu, beberapa siri ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut diganggu samseng upahan Umno antaranya di Sembrong, Johor dan Melaka. Namun, sehingga kini polis masih tidak melakukan penangkapan, sedangkan insiden itu mendatangkan kecederaan kepada penyokong Pakatan.

- Keadilan Daily (Oleh Norutul Ilham)


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas