16 March 2012

Dosa Sejengkal Hukuman Sedepa

Ketika Imam Hoslan membaling selipar ke arah panel hakim, maka hal itu boleh kita sebut sebagai maklumbalas yang terzahir ekoran luapan kemarahan beliau terhadap hukuman ke atasnya. Dia tidak pernah merancang hendak melakukan sedemikian.

Perilaku sebegitu tentu terjadi secara tiba-tiba dek kemarahannya itu. Juga, hal sedemikian boleh juga disebut sebagai ilham Allah ke atas dirinya untuk menyentuh batin nurani dan sanubari manusia agar terfikir sesuatu - adakah mahkamah sekular hari ini layak dimuliakan rakyat?

Ya, Imam Hoslan boleh jadi bersalah atau bermasalah atas masalah apa sahaja. Tapi isunya di sini adalah beliau telah dijatuhkan hukuman melebihi had yang sepatutnya beliau terima. Atau, dalam lain kata - dosa sejengkal, hukuman sedepa.


Menurut laporan akhbar, Hoslan didapati telah membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin selepas jawatankuasa panel tersebut menolak permohonannya untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebelum ini telah berjaya di dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk memperolehi perintah pengusiran yang dikenakan ke atas Hoslan di mana beliau sebelum ini telah mengambil suatu keputusan - enggan keluar dari kuarters yang didiaminya di premis masjid.

Di Indonesia, ada suatu kes yang agak masyhur dan hangat diperkatakan berhubung Hakim Marzuki. Kes itu melibatkan seorang wanita yang mencuri ubi kayu untuk memberi makan kepada cucu-cucunya.

Hakim akhirnya memutuskan untuk tetap menjatuhkan hukuman ke atas nenek tua itu. Sebelumnya hakim membuka topinya lalu meminta maaf terhadap pesalah itu kerana hukuman terpaksa dilepaskannya juga menurut adat kebiasaan dalam penghakiman.

"Saya tidak dapat membuat pengecualian hukum. Hukum tetap hukum, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda 1 juta rupiah dan jika anda tidak mampu bayar, maka anda harus masuk penjara..."

Nenek tua itu mengalah. Apalah daya kudratnya untuk melawan segala peraturan hukum. Hatinya turut karam, remuk redam dan tenggelam dalam diam. Tapi Hakim Marzuki belum habis kata-katanya di situ.
Dia membuka topinya, lalu membuka dompetnya dan kemudian memasukkan wang sejumlah 1 juta rupiah ke dalam topinya. Lalu, dengan tidak semena-mena, Hakim Marzuki berkata kepada para sekalian yang hadir di situ.

"Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada tiap orang yang hadir di ruang sidang ini sebesar 50 ribu rupiah, sebab menetap di kota ini yang membiarkan seseorang kelaparan sampai harus mencuri untuk memberi makan cucunya..."

Sehingga palu diketuk dan ketika hakim meninggalkan sidang penghakiman itu, nenek tua itu pergi dengan wang sejumlah 3.5 juta rupiah termasuk wang sebanyak 50 ribu rupiah yang perlu dibayar kepada pihak pengurusan syarikat tempat dia bekerja yang sudah malu kerana menuntut pengadilan.

Walaupun kisah ini dikatakan terlucut daripada akhbar, namun gambarnya berserakan di internet. Kisah mengenai hakim yang adil amat menarik sebagai pengajaran agar hakim-hakim kita dapat menimbang rasa dengan menegak hati mulia ke dalam dirinya.

Setelah kewarasan menjengah tiba, maka Imam Hoslan Hussin khabarnya meminta maaf atas keterlanjurannya itu. Tetapi, hakim tetap enggan menerima permohonan maaf itu. Hukuman tetap diteruskan ke atas seorang lelaki miskin yang tidak berdaya apa-apa.

Imam Hoslan manusia biasa. Dia tidak dapat mengelak daripada apa-apa juga kesalahan yang beliau lakukannya. Rakyat tahu dia bersalah. Tetapi beban kesalahannya itu di'adili' dengan neraca salah - dosa sejengkal dibalas sedepa hukuman - penjara!

Jika hakim tidak berpuas hati, tambahan pula mereka Muslim (sewajarnya berhukum menurut aturan perundangan Islam), maka hukuman qisas itu boleh dikenakan seperti melempar kembali kasut ke arah Imam Hoslan Hussin. Ternyata, hukuman semacam itu tidak dijalankan.

Syahadan, di negara ini, ada tiga kuasa - Parlimen, Kerajaan dan Kehakiman. Rakyat sudah dibiasakan turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi melawan dasar kerajaan yang tidak memihak kepada cita-cita rakyat.

Demonstrasi terjadi apabila rakyat sedang mencuci dosa kekotoran kerajaan. Tapi, apabila kehakiman tercemar dan hukuman berat tetap dijatuhkan juga atas nama menghina mahkamah, maka rakyat revolusioner perlu membuat pilihan sekarang, adakah mereka perlu berdemonstrasi atau pun tidak ke atas kezaliman para hakim yang menjatuhkan hukuman tidak adil ke atas Imam Hoslan Hussin ini?

Oleh BOESTAMAM SARI


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas