BlogList Malaysia

27 February 2012

PAS yakin isu Kedah mampu diselesaikan dengan aman

PAS yakin isu kepimpinan kerajaan negeri kedah yang diterajui parti itu mampu diatasi secara harmoni melalui ukhuwah Islamiah dan musyawarah.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui beberapa pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang tidak sehaluan, parti itu mendapati isu di Kedah lebih menjurus kepada maklumat yang kurang jelas.

"Dan ada jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku. Sehubungan itu, ahli dan pimpinan di semua peringkat diseru mendapatkan maklumat dari saluran rasmi parti bagi mengetahui perkembangan yang berlaku," katanya.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Harakahdaily pagi ini, Tuan Ibrahim juga berkata pelbagai usaha giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan parti secara keseluruhannya.

"PAS yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik, demi kepentingan parti, dan tambahan pula di saat seluruh jentera parti bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Sehubungan itu, semua pihak mestilah bertindak dengan tepat, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Ketepikan emosi, dan fikirlah dari sudut parti dan bukan sudut peribadi," kata beliau yang juga pesuruhjaya PAS Pahang.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan memberitahu wartawan, hanya lapan exco kerajaan Kedah akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, esok berbanding 10 sebelum ini.

Sidang media khas pagi ini

Exco yang disebut-sebut tidak akan dilantik semula itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga Datuk Phahrolrazi Zawawi yang merupakan timbalan pesuruhjaya I PAS Kedah.

Manakala seorang lagi Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri Datuk Dr Ismail Salleh yang juga adalah timbalan pesuruhjaya II PAS Kedah.

Mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepimpinan Azizan yang juga pesuruhjaya PAS negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

Mengulas perkembangan itu, Tuan Ibrahim juga berkata dalam cabaran media baru tanpa kawalan ini, penyebaran maklumat yang tidak sahih serta andaian peribadi tanpa asas jemaah yang kukuh, tidak membantu mengeratkan hubungan dan memperkasakan parti.

"Perbezaan pandangan tidak seharusnya merosakkan asas ikatan jemaah. Sebarang tindakan mestilah berada dalam ruang lingkup pemikiran jemaah," katanya lagi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub turut meminta semua ahli mendapatkan maklumat dari sumber parti yang sah tentang apa yang sedang berlaku di negeri itu.

Media dan blog pro-BN dilapor menyebarkan pelbagai laporan tidak tepat berhubung apa yang berlaku di Kedah sekarang, termasuk melaga-lagakan pimpinan PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahudin dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan sidang media khas di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pagi ini bagi menjawab kekusutan di sebalik isu tersebut.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas