14 January 2012

Saat genting Tok Guru Nik Aziz di hospital

Kehadiran menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini menarik perhatian ramai memandangkan tahap kesihatan mursyidul am PAS itu dikatakan tidak memuaskan sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang kelihatan agak cergas, bingkas bangun apabila para pemimpin Pakatan yang berada di atas pentas ketika diminta untuk berdiri bagi upacara membaca ikrar.

Ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika menjemput "keramat hidup" itu untuk berucap, turut menceritakan semula saat genting ketika Nik Abdul Aziz dibawa untuk menerima rawatan di hospital sebelum ini.


Nik Abdul Aziz, 81, telah menceritakan semula pengalaman ketika jantung beliau berhenti berdegup untuk beberapa ketika, kata
Wan Abdul Rahim.

"Mungkin itulah apa yang digambarkan oleh Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasa lepas... Beliau kemudian ditarik turun dan jantung beliau berdenyut semula.

"Saya kata Allah turunkan dan amanahkan kepada Nik Aziz untuk lakukan sesuatu yang besar kepada rakyat.

"Beliau perlu bersama untuk bawa kita ke Putrajaya," kata Wan Abdul Rahim lagi yang mengetuai laungan takbir beberapa kali.

Nik Abdul Aziz selepas itu meluangkan masa untuk berucap dengan agak lama dan membuka cerita dengan mengimbau kembali pengalamannya ketika PAS "ditendang" Umno daripada kerjasama dalam BN.

Mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau telah serik dengan tindakan Umno setelah parti Islam itu ditendang keluar daripada BN sebelum ini.

Masa Umno berasa mata dia cerah, kuku dia lebih panjang, dia tendang PAS, kemudian dia minta pula PAS masuk Umno. Kita kata, 'cis!'

"Kalu kali kedua kena sengat juga itu bodohlah... Saya urut dada, mujur kita tidak bersama Umno," katanya lagi.

Beliau turut menceritakan kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan yang membolehkan masyarakat pelbagai agama di negeri itu hidup dengan harmoni.

Antara peristiwa yang dibangkitkannya ialah satu laporan dalam satu penerbitan kerajaan negeri itu mengenai tindakan seorang balu yang menerima bantuan daripada kerajaan Kelantan.

Balu berkenaan telah menghadiahkan semula bayaran sebanyak RM2,000 tersebut kepada satu masjid di Kelantan, kata Nik Abdul Aziz.

Seorang lagi warga bukan Islam di negeri itu turut menghadiahkan sebanyak RM20,000 kepada satu lagi masjid, selepas menderma.

Individu berkenaan juga sebelum ini telah menghadiahkan sebanyak RM10,000 kepada masjid berkenaan, kata Nik Abdul Aziz lagi.

Turut berucap dalam sesi penggulungan pimpinan petang ini ialah pemimpin tertinggi Pakatan termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas