BlogList Malaysia

31 December 2010

Isu senamrobik: Mais mahu panggil nazir masjid

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mahu memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya untuk menjelaskan kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, dengan memakai pakaian ketat dan tidak menutup aurat semasa menyertai senamrobik di pekarangan masjid baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Mais Abdul Halem Hapiz Salihin berkata, pihaknya juga akan menyiasat mengapa tindakan wakil rakyat daripada DAP itu yang tidak menghormati adab ketika memasuki kawasan masjid tidak ditegur oleh pihak pengurusan masjid.

Sambil melahirkan rasa kesal dengan sikap Teo yang tidak mengambil iktibar daripada teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, terhadap kelakuannya sebelum ini, beliau menyifatkan wakil rakyat itu tidak menghormati baginda.


Kata beliau, tindakan selanjutnya mengenai perkara itu akan diketahui selepas mendapatkan penjelasan nazir dan melakukan siasatan.

“Sudah beberapa kali dijelaskan yang adab masuk ke masjid serta kawasan sekitarnya perlu memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.

“Tetapi sebagai pemimpin kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasannya, Teo Nie Ching seolah-olah tidak peka dengan adab dan peraturan sedangkan beliau pernah ditegur sebelum ini.

“Perkara yang lebih kita kesalkan mengapa pihak masjid atau orang Islam yang bersamanya ketika itu langsung tidak menegur kelakuan beliau,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Laporan akhbar itu semalam mendakwa Teo masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya di Balakong dengan mengenakan pakaian ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid.

Menurut Abdul Halem Hapiz, tidak salah melakukan aktiviti berfaedah seperti senamrobik di pekarangan masjid tetapi biarlah mematuhi adab seperti memakai pakaian yang sesuai.

Tambah beliau, sepatutnya wakil rakyat itu dinasihatkan memakai pakaian sukan yang lebih sopan seperti berlengan panjang dan menutup kepala serta senamrobik diasingkan antara lelaki dan wanita atau lelaki di hadapan dan wanita di belakang.

Ogos lalu Teo didakwa menyampaikan “tazkirah” di dalam sebuah surau di Kajang Sentral.

Bagaimanapun jawatankuasa surau menafikan wakil rakyat itu menyampaikan tazkirah sebagaimana dipertikaikan media milik Umno dan pemimpin-pemimpin mereka.

Kelakuannya itu dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin.

Teo telah memohon maaf kepada baginda di atas perbuatannya itu.

Semalam, Teo memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan meneruskan pendekatannya menyertai aktiviti anjuran umat Islam meskipun akhbar Utusan Malaysia milik Umno terus-menerus menyerangnya termasuk yang terbaru kerana mengambil bahagian dalam senamrobik di pekarangan sebuah masjid di Balakong.

Meskipun mengakui tindakan menyertai aktiviti itu di Masjid Taman Cheras kemungkinan menjejaskan sokongan undi orang Melayu, Teo berkata, beliau akan terus menyertai aktiviti seumpama itu dalam usaha merapatkan hubungan dengan para pengundinya.

Menurut Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

“Apabila saya mendapat jemputan daripada masjid, saya akan pergi,” kata Teo kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Jika mereka (Utusan Malaysia) terus menyerang saya tanpa asas, saya tidak akan putus asa. Ia majlis komuniti yang kecil. Ini peluang untuk merapatkan hubungan dengan pengundi-pengundi saya,” kata beliau.

Teo berkata, beliau dijemput oleh Masjid Taman Cheras Jaya untuk mengambil bahagian dalam senamrobik.

“Jika mereka merasakan okey bagi bukan Islam untuk hadir, mengapa mesti saya tutup pintu,” soal Teo lagi.

“Ia majlis dianjurkan oleh (pengurusan masjid), di pekarangan masjid,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas