BlogList Malaysia

27 December 2010

Dr. Asri Bantai Ketuanan Melayu

Keadilan Islam selamatkan Melayu bukan ‘ketuanan Melayu’, kata Asri

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, masa depan orang Melayu akan terjamin jika sistem pentadbiran negara berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam, bukan Ketuanan Melayu yang menjadi polemik baru-baru ini.

“Yang boleh selamatkan orang Melayu bukan Ketuanan Melayu, bukan Raja-raja Melayu tetapi adalah Allah s.w.t.

“Jadi, kita perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam yang mana Islam untuk semua sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

“Setiap kaum perlu diberi nilai dengan Islam, tiada nilai orang Melayu tanpa Islam. Umno dibina atas dasar Melayu tetapi kalau dibina atas dasar Islam ia akan jadi lebih luas,” katanya pada Forum Polemik Ketuanan Melayu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang di sini malam tadi.


Beliau juga mempersoalkan apabila istilah Ketuanan Melayu menjadi laungan dan slogan pihak tertentu sedangkan maksud sebenar ungkapan itu tidak dijelaskan dengan baik.

“Kena jelaskan perkataan Ketuanan Melayu ini, apa yang dipertahankan dan diperjuangkan melalui istilah ini? Adakah ia bermaksud hak keistimewaan orang Melayu atau ada maksud lain? Adakah hak keistimewaan orang Melayu ini menggunakan istilah ini (Ketuanan Melayu)?

“Maksudnya tidak dijelaskan, adakah keistimewaan orang Melayu dan Ketuanan Melayu ini mempunyai maksud sama? Jadi bagi saya relevan jika orang Melayu berpegang kepada prinsip keadilan Islam.

“Ini kerana ketuanan merujuk kepada prinsip keadilan Islam bukan Melayu atau rakyat, apa yang berlaku adalah kekeliruan istilah. Kita kena perpandukan kepada prinsip keadilan Islam,” katanya.

Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran PAS itu adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabky Yusof dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abdul Rahman.

Tambah beliau, isu Ketuanan Melayu tidak perlu dibangkitkan kerana ia bukan satu keperluan untuk diperdebatkan.

“Istilah Ketuanan (Melayu) ini adalah istilah yang kabur, jadi ia bukan keperluan untuk dibangkitkan kecuali kalau ia diperjelaskan. Malah, tindakan orang Melayu yang menggunakan istilah ini menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang bukan Melayu yang mana mereka beranggapan Islam melakukan diskriminasi kaum.

“Mereka (orang bukan Melayu) bukan musuh, saya tidak nampak keperluan orang bukan Melayu adalah musuh kita, cuma banyak tindakan orang Melayu yang beri tanggapan sebaliknya.

“Kita perlu berbalik kepada Islam, Islam lebih luas tapi saya bimbang apabila istilah ini dimainkan ia akan meruncingkan lagi keadaan. Islam bukan eksklusif untuk orang Melayu sahaja, ia adil untuk semua,” katanya. - MI

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas